Linda Onn kecewa ditukar ke Sinar FM

15 Disember 2008 merupakan satu hari baru buat penyampai radio Era FM, Linda Onn,31, kerana beliau akan memulakan tugasnya di tempat baru.

Semua orang sudah mengetahui, tempat baru yang dimaksudkan itu adalah stesen retro yang memaparkan lagu-lagu lama iaitu Sinar FM. Selepas sepuluh tahun bersama Era, Linda terpaksa menerima hakikat nasibnya sama seperti Khairil Rashid yang sebelum ini pernah “dicampakkan” ke X-Fresh FM dan sekarang bersama Sinar FM.

Sebagai bintang yang dicungkil kemilaunya di stesen nombor satu itu, Linda tentunya berbangga kerana Era telah menaikkan namanya sehingga menjadi Linda Onn pada hari ini.

Merupakan deejay pelopor di stesen itu, ternyata pendekatan Era sebelum ini untuk menjadikan deejay mereka seperti selebriti sudah terlaksana.

Tetapi hari ini malang sekali buat Linda kerana dia seolah-olah dijadikan seperti sebiji bola yang disepak terajang tanpa arah. Sejak tiga minggu lalu suara Linda tidak lagi kedengaran menerusi Era walaupun pada dasarnya hari barunya itu masih belum bermula.

Ia bagaikan seperti hukuman sebelum wanita sensasi ini bertugas di tempat baru dengan alasan dia perlu berehat selama tiga minggu untuk mencari ketenangan.

Ada yang berkata, Linda sudah tidak diperlukan lagi di stesen itu kerana terlalu banyak menimbulkan kontroversi terutama mengenai kisahnya dengan Fahrin yang dilihat turut menjejaskan kredibiliti stesen itu.

Petang Jumaat lalu ketika Pancaindera menghubungi Linda, ternyata nada suara wanita ini cukup sedih.

“Ya... saya akan lapor diri di Sinar FM pada 15 Disember ini. Tengoklah macam mana nanti,” katanya membuka bicara. Saat ditanya perasaan beliau apabila menerima perkhabaran pertukaran itu, jelas Linda beliau sedih dan terkejut.

Dan lebih sedih, namanya juga tidak tersenarai dalam pasukan penambahbaikan untuk tahun 2009 yang seterusnya membuatkan beliau merasakan dirinya cuba dipinggirkan terus dari stesen itu.

Mengakui yang dia mati akal selepas diberitahu mengenai keputusan pihak pengurusan tersebut, Linda terpaksa menerima hakikat dia terpaksa menjalankan tugas di tempat yang belum tentu dapat menimbulkan minatnya.

Bukan menafikan kewibawaan stesen Sinar FM tetapi ujar Linda, jiwanya bukan jiwa retro yang dapat untuk memperhebatkan stesen itu.

“Saya sebenarnya suka dan minat dengan lagu-lagu hip-hop, rap dan R&B. Bila ditukarkan ke Sinar, entahlah, saya tak ada komen hal itu,” katanya.

Bimbang tidak ada kepuasan di tempat baru nanti, ujar Linda beliau masih tidak dapat membuat keputusan sama ada untuk meninggalkan terus stesen radio AMP milik Astro itu atau tidak.

Bukan mahu membalas dendam tetapi Linda membayangkan dia bagaikan tidak dihargai selepas 10 tahun turut menyumbang menjadikan Era sebagai stesen nombor satu.

Tidak menafikan sebelum ini banyak menerima tawaran daripada stesen radio lain tetapi Linda tidak mahu tamak memikirkan wang sebaliknya dia masih sayangkan Era.

Tetapi hari ini selepas apa yang berlaku, tidak mustahil Linda akan mempertimbangkan apa-apa tawaran yang mungkin akan diberikan kepadanya.

“Saya tak boleh nak cakap sama ada nak berhenti dari menjadi deejay di stesen milik Astro ini atau tidak kerana kontrak saya masih ada sehingga hujung tahun hadapan,” katanya.

l Terlebih glamor?

Apabila rombakan berlaku di stesen radio itu, ada yang melihat perubahan tugas Linda kerana popularitinya yang terlalu mendadak. Dek kerana populariti yang keterlaluan disulam pula dengan kontroversi, ia turut dilihat menjadi punca kedudukan stesen Era semakin tercemar dan terus merudum jatuh walaupun masih pada tangga teratas.

Mungkin melihat kepada situasi itu, Pengurus Rancangan Era yang baru Nazri Noran mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan deejay stesen itu mengejar glamor lagi selepas ini.

Mereka perlu memberi perhatian terhadap kerjaya masing-masing daripada sibuk untuk keluar di akhbar atau majalah.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Linda mempunyai jawapan iaitu soal glamor dan populariti yang dia peroleh hari ini adalah bukan atas permintaannya.

Malah setiap gosip atau kisah sensasi yang dipaparkan di akhbar mengenai dirinya juga di luar kawalannya.

“Apa yang orang baca, orang tulis, bukan permintaan Linda. Kalau orang kata Linda sengaja nak cari publisiti, nak glamor, itu semua tak betul. Itu silap,” katanya.

Malah ketika mula menyertai stesen radio Era selepas meninggalkan tugasnya sebagai pengacara di TV3, Linda tidak pernah terfikir personaliti radio dapat diangkat sebegitu tinggi sehingga ada anugerah untuk mereka.

Disebabkan itulah Era menjadi popular dan deejay mereka memenangi banyak anugerah.

“Masa mula-mula Era dilancar, boss Era ketika itu Kudsia Kahar mahu menjadikan Era lain dari stesen lain dengan menonjolkan deejaynya.

“Mungkin hari ini pendekatan itu berbeza dan prinsip yang dipegang selama ini hendak diubah, maka wujudlah kata-kata deejay tak perlu menonjol,” katanya.

Biarpun kecewa tetapi Linda berharap pendengar yang meminatinya selama ini sentiasa menyokong kerjayanya walaupun beliau ditempat baru. Esok adalah hari baru untuk Linda tetapi tidak mustahil, lusa atau hari berikutnya dia mungkin tiada lagi di situ. Siapa tahu!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url