Proton tolak dakwaan isu penyelenggaraan Perdana V6 mahal

Proton Holdings Berhad (Proton) menyangkal dakwaan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) kononnya kos penyelenggaraan Proton Perdana terlalu tinggi.

Sebaliknya kosnya berpatutan bergantung kepada beberapa faktor, antaranya penyelenggaraan berkala di pusat servis bertauliah setiap tiga bulan atau setiap 5,000 kilometer (km), penggunaan perbatuan setahun dan sikap pemanduan.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata kos lazim bagi setiap penyelenggaraan secara berkala adalah RM200 termasuk penapis minyak dan kos upah, tetapi tidak termasuk alat ganti dan komponen, kegagalan mekanikal dan kos pembaikan akibat kemalangan.

Beliau berkata, perbatuan bagi kenderaan yang digunakan secara biasa adalah antara 20,000 hingga 30,000km setahun.

Katanya, dalam tempoh itu, purata kos penyelenggaraan Perdana V6 dianggarkan RM2,300 bergantung kepada rekod di pusat servis bertauliah

“Umumnya, kereta berusia lebih empat tahun yang tidak diselenggara sempurna akan meningkatkan kos penyelenggaraan.

“Adalah tidak tepat untuk membandingkan kos penyelenggaraan kereta berusia setahun dengan kereta yang berusia empat tahun kerana kos penyelenggaraan kali kedua dan seterusnya lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sebelum ini akhbar melaporkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak membeli kereta import untuk Exco dan pegawai kanannya, diikuti Kerajaan Pas Kedah bercadang menggantikan kereta Proton Perdana V6 sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanannya jika kedudukan kewangannya mengizinkan, tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, enggan menjelaskan jenama kereta untuk dibeli, tetapi membayangkan ia mungkin bukan kereta nasional kerana kos penyelenggaraan Perdana V6 agak tinggi.

Syed Zainal Abidin berkata, walaupun pihaknya faham komen diberikan pemimpin kerajaan negeri itu berdasarkan laporan yang dikemukakan kepada mereka, ia sewajarnya diteliti untuk mengenal pasti kos sebenar yang dibelanjakan.

Katanya, rekod menunjukkan hanya tiga daripada 55 unit Perdana V6 yang didaftarkan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dihantar ke pusat servis bertauliah dalam tempoh lapan bulan lalu sejak kereta itu berada di bawah jagaan mereka.

“Proton kecewa dengan pemimpin kerajaan negeri yang secara terbuka mengecam kereta nasional sebagai kereta berkualiti rendah berbanding kereta import.

“Walaupun diakui ada kelemahan yang perlu diperbaiki, tidak bermakna kualiti Proton terlalu teruk sehingga menyebabkan kerajaan negeri membuat keputusan membeli kereta import,” katanya.

Beliau berkata, Proton sudah menghantar surat untuk berjumpa pegawai kerajaan Pulau Pinang bagi menyelesaikan isu berkenaan dan membuat permohonan sama kepada Menteri Besar Perak dan Kedah.

Katanya, Proton menangani isu berkenaan secara serius dan sudah memulakan pertemuan dengan kerajaan negeri untuk memberikan penjelasan terperinci termasuk kerajaan Selangor.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url