Rafidah & Shahrizat sedia berkempen di Kuala Terengganu

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan bekerjasama dengan ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan.

Menurut Shahrizat, dalam kempen yang diketuai Rafidah itu, mereka akan bersama-sama ahli Wanita UMNO menggerakkan jentera pergerakan itu demi memastikan kemenangan besar calon BN.

Tegasnya, soal pemilihan parti Mac depan tidak akan menjejaskan kempen Wanita UMNO di Kuala Terengganu kerana sebagai ahli yang setia dan cinta kepada parti, beliau akan memainkan peranan untuk memastikan BN mencapai kemenangan.

"Tiada apa yang berubah dalam pergerakan ini dan saya bersama ahli yang lain akan tetap bekerjasama seperti biasa.

"Saya akan turun padang bersama-sama dengan Tan Sri (Rafidah) kerana ketika ini, saya masih Naib Ketua Wanita UMNO," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kempen mengutip dana bagi pesakit kanak-kanak di Institut Jantung Negara (IJN) - 'Penuhi Impian Kanak-Kanak Menjadi Kenyataan' di sini hari ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan pada Januari depan berikutan kematian Datuk Razali Ismail yang merupakan penyandang bagi kerusi itu pada 28 November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu, Razali menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu serta calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Shahrizat percaya, ahli Wanita UMNO akan mengetepikan perkara-perkara remeh demi memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya itu kelak.

"Beliau (Rafidah) telah memutuskan sendiri mengetuai kempen Wanita UMNO dan itu merupakan langkah yang terbaik kerana ia tentunya akan melancarkan lagi kempen," jelas beliau.

Shahrizat yakin BN mempunyai kelebihan untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Katanya, ahli-ahli parti telah membuktikan BN kini kembali kukuh walaupun terdapat isu-isu yang tidak menyenangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

"BN sentiasa bertanggungjawab ke atas rakyat. Ia boleh dilihat dari segi kekuatan kerajaan menerajui negara berbanding negara-negara lain yang kucar kacir seperti Thailand," ujarnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url