Top Ad 728x90

Temubual dengan MB Terengganu - Datuk Ahmad Said

Berikut wawancara ringkas Wartawan Utusan Malaysia, Irman Hashim bersama Menteri Besar Terengganu, DATUK AHMAD SAID berhubung persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

UTUSAN MALAYSIA: Ini pilihan raya kecil pertama selepas Datuk dilantik sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Bagaimana Datuk melihat cabaran ini?

AHMAD SAID: Saya tak perlu beritahu apa yang saya akan buat. Ini bukan pilihan raya kecil saya yang pertama walaupun ketika itu bukan atas kapasiti sebagai Menteri Besar atau Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Sebelum ini saya pernah mengendalikan pilihan raya semasa menjadi wakil rakyat dan Ketua Pemuda UMNO negeri. Saya akan lakukan yang terbaik.

UMNO Terengganu bergolak ketika isu pelantikan Datuk dan pemilihan parti baru-baru ini. Adakah Datuk yakin mendapat kerjasama penuh daripada semua pemimpin UMNO negeri untuk hadapi pilihan raya kecil ini?

Kita tidak perlu lagi mengungkit perkara-perkara lama. Ia sudah lama berlalu. Kerjasama dalam parti kini utuh. Kontroversi sebelum ini tidak memberi kesan kepada perpaduan parti. Semuanya berjalan dengan baik ketika ini.

Ada pihak yang melihat pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hanya untuk memuaskan hati ahli-ahli UMNO tapi bukannya pengundi. Apa pandangan Datuk?

Itu apa yang kamu kata serta andaian kamu dan bukan parti. Boleh kamu berikan calon yang lebih baik. Masalahnya orang banyak buat andaian dan tafsiran. Kita lihat Wan Ahmad Farid sebagai ketua bahagian selain jawatan Timbalan Menteri dan sebagainya. Beliau sudah ada jentera sendiri. Jika kita ambil orang luar, nak betulkan jentera UMNO satu hal pula. Jika kita hendak puaskan hati semua orang susahlah.

Apa komen Datuk tentang kenyataan pembangkang bahawa pemilihan Wan Ahmad Farid seolah-olah memberi kemenangan kepada mereka?

Kita tengok permainan sebenar pembangkang. Dia bertanding kerana dia yakin, kalau dia tidak yakin buat apa dia bertanding. Ini ibarat macam kita masuk pertandingan bola. Kalau tidak yakin kenapa kita masuk Liga Malaysia. Pas mempunyai percaturan mereka, kita mempunyai percaturan kita.

Pemberian semula wang royalti oleh Kerajaan Pusat menjadi modal kempen pembangkang kononnya ia hanya untuk mengaburi mata rakyat. Adakah Datuk rasa ia memberi kesan terhadap sokongan kepada BN?

Pembangkang akan mengatakan apa saja. Kita buat apa pun tidak kena. Apa yang penting wang royalti kita sudah dapat. Kita akan dapat keseluruhan wang royalti Mac tahun depan. Kenapa mereka hendak bising. Dulu bila kerajaan tidak bagi mereka bising.

Sekarang bila sudah dapat kata kita nak mengaburi mata rakyat. Saya minta wang royalti bukan sekarang atau kerana kematian bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Allahyarham Datuk Razali Ismail. Kita mulakan rundingan sejak Mei lalu.

Sebelum akhir tahun ini, kita akan mendapat bayaran wang royalti pertama. Yang lain dalam perkiraan. Dan bagi pembangkang, mereka akan gunakan apa saja untuk mengaburi mata rakyat.

Tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu dikuasai pembangkang. Atas dasar apa UMNO yakin pengundi akan memilih calon BN?

Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini, kita cuma kalah di satu kawasan Parlimen sahaja.

Dengan kerjasama semua pihak tidak akan ada masalah. Walaupun DUN kalah 3-1, kita tetap akan menang didorong oleh banyak faktor.

Kita mesti ingat kesan dan isu pilihan raya umum baru-baru ini berbeza. Kadang-kadang dalam satu malam pun berbeza tidak perlu tiga bulan. Kita menguruskan orang dan perasaan mereka. Pagi dia buat keputusan lain, petang akan buat lain. Mungkin sebelum jumpa kita dia kata lain, bila jumpa sokong kita pula.

Peluang BN untuk menang juga bergantung kepada pengundi atas pagar. Bagaimana mahu meyakinkan mereka untuk sokong BN?

Itu strategi parti yang saya tidak boleh dedahkan. Kita tengoklah. Mereka ada kumpulan masing-masing dan kita menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik sokongan pengundi atas pagar.

Pilihan raya kecil kali ini bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru yang sudah tentu akan memecahkan undi BN mahupun Pas. Apa pandangan Datuk?

Ini demokrasi. Kalau 20 orang hendak bertanding kita hendak kata apa. Biarlah kalau rasa hendak menang bertandinglah. Semua ini bergantung kepada pengundi.


Bagaimana peluang BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu?

Kita ada will power untuk menang insya-Allah dengan will power ini, saya yakin kita akan menang.

- Utusan

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90