Terengganu cadang tambah pusat latihan kemahiran

Kerajaan Negeri Terengganu bercadang menambah bilangan institusi latihan kemahiran di negeri ini dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan belia yang berkemahiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah tersebut bagi menampung keperluan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, golongan terbabit berpeluang memilih bentuk kemahiran yang diinginkan seterusnya menceburi bidang pekerjaan yang mereka pilih.

''Setakat ini Terengganu hanya mempunyai beberapa buah institusi kemahiran dan bilangan tersebut tidak mampu untuk menampung permintaan yang semakin meningkat," katanya selepas majlis gotong-royong membersihkan sungai dan melancarkan Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) 2008 di Kampung Seberang Takir di sini hari ini.

Program tersebut disertai lebih 90 mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menarik

Ahmad Razif memberitahu, kerajaan negeri akan memperhebatkan kempen dan usaha menarik lebih ramai golongan belia mengikuti pelbagai program kemahiran bukan sahaja yang ditawarkan oleh kerajaan negeri malah Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, langkah itu penting kerana terdapat segelintir belia yang tidak mendapat maklumat mengenai institusi kemahiran yang ada di negeri ini walaupun institusi tersebut telah lama diwujudkan.

''Setelah diselidik, kita dapati ramai golongan belia sebenarnya tidak tahu mengenai peluang yang ditawarkan oleh institusi kemahiran yang ada di negeri ini dan bagaimana untuk mendapatkan maklumat mengenainya," ujarnya.

Katanya, salah satu cara yang akan diambil ialah melalui promosi di tempat awam dan juga mengadakan kempen di sekolah-sekolah bagi menyalurkan maklumat yang tepat kepada golongan berkenaan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url