Wan Farid tidak boleh dilantik semula jadi senator jika kalah
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh berkata, Timbalan Menteri Dalam Negeri itu yang mengangkat sumpah untuk penggal kedua hari ini dianggap telah berkhidmat selama tiga tahun walaupun beliau dijangka meletakkan jawatan dalam tempoh dua minggu lagi.
‘‘Berdasarkan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada masa pemerintahan Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn, seseorang senator hanya boleh memegang jawatannya selama dua penggal atau enam tahun.
‘‘Beliau tidak boleh lagi kembali sebagai senator dan Timbalan Menteri kerana telah cukup dua penggal dan ini perlu dipatuhi kerana ia adalah soal pemerintahan dan bukan main-main,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Wan Ahmad Farid perlu meletakkan dua jawatan itu bagi membolehkan beliau bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan yang ditetapkan pada 17 Januari depan.
Abdul Hamid menjelaskan, Dewan Negara menerima pelantikan semula calon BN itu berikutan syor yang dibuat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
‘‘DUN Terengganu telah menamakan dan menyambung perkhidmatan beliau. Kita tidak berhak menidakkan keputusan ini melainkan menyempurnakan proses dengan angkat sumpah dan ini adalah satu prinsip,” jelasnya.
Sementara itu, Wan Ahmad Farid yang ditemui pemberita selepas majlis angkat sumpah berkata, beliau berbuat demikian walaupun sehingga 5 Januari sahaja kerana perlu meneruskan tugasnya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.
‘‘Mesti ada seseorang di kementerian untuk menandatangani dokumen memandangkan Menteri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berada di luar negara manakala seorang lagi Timbalan Menteri, Datuk Chor Chee Heung sedang bercuti,” jelasnya.