6,000 polis pastikan keselamatan pilihan raya kecil
Mereka terdiri daripada anggota Unit Udara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Khas, Unit Tindakan Khas (UTK), Unit Tindakan Ringan (LSF), Unit Pencegahan Rusuhan (PORU) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kesemua pegawai dan anggota itu akan melaporkan diri secara berperingkat.
Menurutnya, fasa pertama melibatkan 3,000 orang yang mula melapor diri hari ini diikuti fasa kedua pada 4 Januari dan fasa ketiga pada 10 Januari ini.
“Mereka akan ditugaskan mengawasi proses penamaan calon, tempoh berkempen, pembuangan undi dan penjumlahan undi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jalaluddin memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak cuba mengganggu proses demokrasi dengan membuat kacau kerana polis akan mengadakan kawalan keselamatan ketat bagi menjamin keselesaan orang ramai.
Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memberi kerjasama kepada pasukan polis dan tidak membuat anggapan tidak baik terhadap penempatan anggota di seluruh kawasan pilihan raya.
Katanya, pendekatan polis itu berdasarkan pengalaman pada pilihan raya kecil yang lalu seperti di Permatang Pauh, Pulau Pinang; Lunas, Kedah dan Ijok, Selangor.
“Polis sentiasa mengamalkan sikap mesra masyarakat dalam menjalankan tugas dan masyarakat harus memberi kerjasama supaya keselamatan penduduk terutama di Kuala Terengganu terjamin,” katanya.
Jalaluddin berkata, polis juga memperkenalkan pusat operasi sehenti dikenali sebagai Markas Taktikal (Martek) dalam menghadapi pilihan raya bagi menambah keberkesanan kawalan keselamatan.
Menurutnya, Martek akan ditempatkan di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu dengan setiap satu diketuai seorang pegawai zon melibatkan lebih 1,200 anggota.
Beliau menambah, Martek yang ditempatkan di padang bola Majlis Perbandaran Kuala Terengganu adalah untuk DUN Bandar manakala kawasan lapang di Pengadang Baru (DUN Wakaf Mempelam), Balai Polis Chendering (DUN Batu Burok) dan Pantai Batu Burok (DUN Ladang).
- Utusan