Awas cecacing serang Facebook

Teknologi dunia tanpa sempadan kini membenarkan kita berkomunikasi dan mengekalkan hubungan dengan rakan-rakan mahupun saudara-mara hanya melalui ruang maya.

Ini kerana, kegilaan masyarakat terutama golongan remaja terhadap portal rangkaian sosial di Internet membolehkan mereka bertemu kembali dengan sahabat-sahabat yang telah lama terputus hubungan.

Malah, melalui medium tersebut juga, mereka seolah-olah boleh berkumpul untuk menjalankan aktiviti-aktiviti menarik atau berdiskusi tentang sesuatu isu.

Antara portal rangkaian sosial terkini yang semakin mendapat perhatian masyarakat di negara ini adalah Facebook.

Walaupun kewujudannya menyumbang banyak kesan positif, tapi tanpa kita sedari ada pihak yang mengambil kesempatan menyalah gunakannya untuk menyebarkan virus dan cecacing.

Sebuah syarikat peneraju dalam penyelesaian ancaman siber, Fortinet melalui pasukan penyelidiknya FortiGuard Sekuriti Global telah menemui cecacing pada laman web tersebut yang menyebarkan kod berbahaya kepada komputer pengguna.

Sebenarnya, kehadiran cecacing berkenaan telah beberapa kali dikenalpasti sejak Julai tahun ini yang mana ia bertindak dengan menghantar mesej yang mengandungi virus kepada akaun pengguna dan mengarahkan mereka melawat sebuah laman web video.

Pengguna yang mengunjungi laman web tersebut akan diminta untuk menerima perisian istimewa bagi membolehkan video berkenaan dipaparkan.

Jika pengguna memilih untuk menerimanya, peluang tersebut akan digunakan untuk penyebaran pelbagai jenis cecacing dan virus kepada komputer mereka.

Jenayah siber ini juga menggunakan medium portal tersebut untuk menyebarkan virus kepada pendaftar-pendaftar akaun Google Reader.

Ini kerana kebanyakan pengguna beranggapan video yang ingin dipaparkan adalah dihoskan oleh Google.

Pelanggan Fortinet yang melanggan anti virus dan perkhidmatan tapisan kandungan webnya diberi jaminan untuk dilindungi daripada ancaman tersebut.

Menerusi penyelesaian komprehensif yang ditawarkan, perkhidmatan berkenaan mampu melindungi aplikasi dan rangkaian yang digunakan dengan teknologi sekuriti pintar serta penghantaran pengemaskinian kepada semua produk Fortinet.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url