Hijrah tuntut perubahan prinsip dan sikap
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang
Universiti Sains Islam Malaysia
Penghijrahan kaum Muslimin di bawah pimpinan Rasulullah SAW dari kota Makkah ke kota Madinah adalah dimensi baru kepada dakwah Islamiah serta simbolik kepada penghayatan ajaran Islam sebenar. Ia juga detik penting kepada pembaharuan sistem nilai dan hidup manusia. Penghijrahan yang mematangkan penyebaran risalah Allah tidak mungkin berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam ketika berdepan suasana baru.
Rasulullah SAW sendiri dalam misi Baginda sudah menanam benih perpaduan, persaudaraan, tolong-menolong, pengorbanan, kecintaan dan ketakwaan dalam sanubari golongan Muhajirin serta Ansar. Itulah unsur paling penting kepada umat Islam sebagai persediaan menghadapi cabaran dan ujian sama ada daripada kaum kufur, munafik, iblis atau nafsu diri sendiri.
Perjuangan meneruskan misi Rasulullah SAW di muka bumi ini iaitu meninggikan kalimah Allah sehingga menjadi rahmat kepada sekalian alam, memerlukan keyakinan tinggi dan mantap. Ummah perlu yakin berbekalkan keimanan, semangat jihad serta panduan berasaskan al-Quran dan sunnah, perjuangan menyampaikan risalah Islam akan berjaya dan mendapat pertolongan serta inayah Allah.
Hari ini, perubahan zaman yang begitu pantas menghambat umat Islam melakukan persediaan dan persiapan jitu bagi menghadapi perubahan serta kejutan dengan menyediakan barisan pelapis generasi muda yang bukan saja tega menghadapi ledakan perubahan bahkan meneruskan perjuangan memartabatkan Islam di muka bumi ini. Dunia tanpa sempadan dan cabarannya hanya mampu diharungi generasi umat yang bersedia dari segi mental, fizikal dan spiritual. Penghijrahan nilai, etika serta peradaban hidup perlu diberi perhatian khusus dalam membentuk negara menuju alaf baru dan sejahtera.
Tiada guna kita maju dalam teknologi dan maklumat, tetapi jiwa kering kontang, senang dibawa arus hawa nafsu yang dipimpin iblis dan syaitan. Selepas hijrah, umat Islam perlu memantapkan kefahaman menerusi akidah tauhid dengan mendalami ilmu agama, penghayatan al-Quran, mengkaji sejarah dan perjuangan Rasulullah SAW serta sahabat. Perbincangan ilmiah sesama cendekiawan Islam dan pada masa sama menguatkan hubungan dengan Allah dengan memperbanyakkan solat, doa, dan ibadat sunat.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka." (Surah Ar-Ra'd, ayat 11).
Hijrah juga mengingatkan kita pentingnya sikap cekal dalam diri. Berbekalkan penghayatan nilai kecekalan inilah barisan pelapis umat berupaya tabah dalam mengharungi cabaran alaf baru. Pencapaian umat Islam yang begitu gemilang dalam bidang keilmuan sehingga mampu mencorak dunia dengan pelbagai disiplin ilmu, tidak mungkin datang tiba-tiba dan kebetulan tanpa usaha yang cekal, gigih berserta semangat jihad tertanam kuat dalam jiwa. Sesungguhnya daya juang tinggi dapat dikutip daripada generasi hijrah pertama. Ilmu juga diperoleh melalui pengalaman apabila seseorang mengalami peristiwa yang memberi pengajaran kepadanya. Sejarah menunjukkan kepada kita perkara utama dibawa Rasulullah SAW kepada masyarakatnya ialah ilmu yang boleh menyedarkan mereka untuk mengenali diri dan Allah seterusnya melaksanakan tanggungjawab diamanahkan kepada mereka.
Umat Islam perlu merenung dan berfikir mengenai keruntuhan serta kemusnahan kaum terdahulu supaya dapat memperkukuhkan jiwa menghadapi alaf baru. Sebab itu hijrah mengajar kita bersikap matang dalam mengambil sesuatu keputusan atau tindakan.
Kewarasan bertunjangkan syariat dan ketenangan berasakan iman serta takwa yang melahirkan kematangan perlu disemai dalam jiwa umat Islam pada zaman siber kerana tindakan yang hanya berlandaskan akal atau nafsu menyebabkan negara dan ummah binasa.
Kita tidak boleh meletakkan kebenaran atas suara ramai. Justeru, kita perlu berpegang kepada prinsip berlandaskan al-Quran dan hadis. Ketika Rasulullah SAW ditawarkan harta, pangkat dan wanita supaya meninggalkan seruan Islam, Baginda bersabda yang bermaksud: "Sekiranya diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan pekerjaan ini, tidak sekali-kali aku tinggalkan sama ada aku berjaya atau menemui ajal."
Pada hari ini, jelas kelihatan betapa masyarakat Islam semakin tidak bersatu-padu, sekalipun mereka mengetahui kehidupan begitu sifat masyarakat jahiliah. Keadaan masyarakat yang kebanyakannya hidup dengan mempertahan serta mementingkan diri boleh melemahkan ummah dan negara. Sikap individualistik tidak patut dididik dalam pemikiran umat Islam terutama generasi muda. Sejarah membuktikan umat Islam lantaran perpecahan di kalangan mereka, menjadi mangsa kekejaman, pembunuhan dan permainan musuh Islam. Umat Islam sanggup bermusuhan dan berbunuhan tanpa menyedari puak kufur adalah dalang pembunuhan sesama mereka.
Justeru, kesatuan dan perpaduan adalah aset terpenting sebagai bekalan umat ke alaf baru. Perpecahan sekalipun sedikit dan kecil, lambat laun pasti akan merebak dan seterusnya menyentap perjuangan umat Islam daripada puncak kejayaan. Peristiwa hijrah membuktikan perpaduan umat Islam antara Muhajirin dan Ansar adalah inti pati kejayaan hijrah dan perjuangan Islam. Memasuki alaf baru yang serba-serbi sejagat tidak memungkinkan kita hidup dalam keadaan terasing.
Dunia tanpa sempadan serta kemajuan yang menyatukan pelbagai bangsa dan negara adalah cabaran yang berhajatkan umat Islam bersatu padu. Percanggahan perkara pokok mesti dielakkan, manakala perselisihan masalah cabang memerlukan sikap keterbukaan dan berlapang dada.
Umat Islam perlu sedar musuh pasti akan bersatu apabila berdepan dengan Islam. Firman Allah yang bermaksud: "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 120)