Israel bedil bengkel senjata

Pesawat perang Israel mengebom sebuah bengkel pengeluaran senjata di Genting Gaza awal hari ini, selepas pejuang Palestin melancarkan sebuah roket ke wilayah Israel.

Israel melancarkan serangan itu, ketika Duta Khas Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, George Mitchell berada di rantau ini dalam usaha mengukuhkan gencatan senjata yang diisytiharkan lebih 10 hari lalu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan itu yang dilancarkan oleh Israel sebelum subuh ke atas sasaran di bandar Rafah, dekat sempadan Gaza dengan Mesir.

Saksi dan pejuang Hamas berkata, sebuah bengkel membuat acuan logam mengalami kerosakan.

Sejurus sebelum itu, sebuah kumpulan pejuang yang ada hubungan dengan Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas mengaku bertanggungjawab melancarkan sebuah roket ke selatan Israel lewat semalam.

Jet pejuang Israel kemudian melancarkan satu lagi serangan ke atas bandar Khan Younis mengakibatkan 18 cedera, termasuk 11 murid sekolah, seorang wanita mengandung dan seorang polis Hamas.

Serangan roket itu adalah yang pertama dari Gaza sejak Israel dan Hamas mengisytiharkan gencatan senjata berasingan pada 18 Januari lalu, bagi menamatkan kempen serangan Israel selama 23 hari ke atas wilayah Palestin tersebut.

Walaupun serangan roket hari ini tidak menyebabkan kemalangan jiwa di pihak Israel, para pemimpin Yahudi yang bakal menghadapi pilihan raya umum pada 10 Februari ini telah berikrar untuk membalas sebarang tembakan roket pejuang Palestin dari Gaza itu.

Rejim Yahudi itu semalam telah memberi amaran akan mengambil tindakan lebih keras terhadap pembunuhan seorang askarnya dalam satu letupan dekat pagar sempadan Gaza, kelmarin.

- Reuters
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url