Naza sedia bina kilang kedua
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Nasim Sdn. Bhd., SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, buat masa ini, cadangan itu ditangguhkan berikutan kelembapan ekonomi semasa.
''Kilang kedua ini penting untuk jangka panjang dalam usaha kami meningkatkan pengeluaran kereta dengan kapasiti 50,000 buah setahun.
''Bagaimanapun, sekiranya kami perlu mengeluarkan model yang penting, cadangan ini akan diteruskan,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran model Peugeot 308 Turbo dan Peugeot 308 VTi di sini hari ini.
Majlis pelancaran kereta itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain di Bertam, Kumpulan Naza juga memiliki kilang di Gurun, Kedah.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang menstruktur semula operasi pengeluarannya termasuk menghentikan pengeluaran model-model lama untuk memberi laluan kepada Peugeot 308.
Ditanya model apa yang bakal dihentikan, SM Nasarudin berkata: ''Ia membabitkan model-model lama daripada jenama lain''.
Katanya, Kumpulan Naza tidak menetapkan tempoh untuk menghentikan pengeluaran model lama itu tetapi ia bergantung kepada kerjasama bersama rakan strategik.
Dalam pada itu, beliau mengunjurkan kedua-dua model Peugeot 308 mampu dijual sebanyak 3,500 buah bagi pasaran tempatan pada tahun ini.
SM Nasarudin berkata, setakat ini model Peugeot terbaru itu telah menerima kira-kira 150 tempahan.
Katanya, selain memasarkan di pasaran tempatan dua model Peugeot itu akan memasuki pasaran Thailand dan Indonesia dalam tempoh tiga bulan akan datang.
''Kumpulan Naza juga berminat untuk memasarkan kereta ini ke Singapura dan Brunei tetapi pada dasarnya tumpuan kami setakat ini adalah di Thailand dan Indonesia kerana ia memiliki pasaran yang cukup besar,'' katanya.
Peugeot Turbo dan VTi 308 yang dipasarkan oleh Nasim Sdn. Bhd. (NSB) dipasang di kilang milik Kumpulan Naza di Gurun.
Kedua-dua model itu, masing-masing menawarkan kapasiti enjin 1,598cc, meskipun begitu, Peugeot 308 menjanjikan prestasi setara dengan pesaing-pesaing yang memiliki kapasiti 2.0 liter.
Model itu turut menawarkan transmisi automatik dengan Sistem Tiptronik Porche, membolehkan pemandu memilik gear manual atau automatik.
SM Nasarudin berkata, pengenalan model itu merupakan percubaan NSB untuk mempelopori segmen C.
''Kami percaya model terbaru ini mampu mengulangi kejayaan Peugeot 407,'' katanya.
Harga atas jalan bagi model Peugeot 308 Turbo ditawarkan pada harga RM111,000 manakala Peugeot 308 VTi RM96,500 sebuah.
- Utusan