Komentar - UMNO Perak perlu berubah
Pertama, menggambarkan masa depan UMNO negeri itu yang semakin hilang 'taring' akibat 'daya tarikan'; kedua, sebagai pemangkin ke arah melahirkan kepimpinan 'UMNO Perak baru' yang lebih berdaya saing dan dinamik.
Walaupun yang tersurat ketika ini ialah bekas Ahli Parlimen Parit itu mengambil keputusan meninggalkan UMNO dan BN atas sebab-sebab tertentu atau lebih tepat lagi mungkin dikaitkan dengan soal peribadi, sebagai tulang belakang BN, UMNO perlu sedar bahawa kedudukan mereka di utara Semenanjung kini semakin goyang dan terhakis.
Waima apa juga alasan yang diberi, telah sampai masanya UMNO melakukan muhasabah diri. Dan yang lebih penting, resolusi daripada muhasabah diri itu segera dilaksanakan.
Bercakap tentang hilang daya tarikan, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri baru-baru ini telah melahirkan kebimbangannya.
"Kita perlu ada wow factor (daya tarikan) supaya pengundi kembali kepada kita. Kini kita kehilangan faktor itu dan kita perlu mencari jalan untuk mendapatkan ia kembali," ujar beliau.
Berbalik kepada isu keluar parti. Mengapa Nasaruddin mengambil keputusan berani tersebut? Adakah kerana beliau yakin, UMNO tidak lagi mempunyai masa depan yang cemerlang?
Masa depan yang cemerlang ini boleh dikaitkan dengan sokongan pengundi terhadap parti Melayu itu pada pilihan raya umum akan datang.
Mahu tidak mahu, kita perlu mengakui bahawa PKR yang menjadi pilihan bekas Pengerusi Felcra Berhad itu semakin mendapat tempat di hati para pengundi. Bukan kerana ia sebuah parti yang hebat dan kuat, tetapi kerana pengundi tiada pilihan lain.
Sementelah umum mengetahui, kebanyakan pemimpinnya terdiri daripada golongan yang kecewa, tetapi apa yang boleh rakyat harapkan daripada UMNO jika pemimpinnya enggan berubah dan selesa dengan keadaan masing-masing.
Maka, UMNO perlu berubah. Dan tentunya perubahan itu mengandungi wow factor yang dimahukan oleh rakyat.
"Kalau UMNO masih bergerak dengan cara lama, sukar bagi BN merampas Perak kembali," kata pensyarah kanan politik Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr. Mustafa Mohamed Ishak ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dengan tindakan Nasaruddin tersebut, UMNO Perak kini kehilangan satu kerusi DUN (kini UMNO 26 kerusi, MCA satu kerusi) menjadikan BN Perak tinggal 27 kerusi berbanding Pakatan Rakyat, 32 kerusi.
Dalam hal ini, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali dilihat adalah orang yang paling bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Dan tanggungjawab ini diakui beliau sendiri semalam.
"UMNO telah gagal di bawah kepimpinan Tajol Rosli, jika keadaan ini dibiarkan, UMNO akan jadi parti yang runtuh," ujar Prof. Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff pula.
Menurut penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, seseorang pemimpin yang hebat, kebiasaannya mampu mempertahankan kedudukannya dengan baik selama dua penggal. Jika lebih, mereka hanya akan mengemukakan idea-idea lama yang lapuk dan berulang-ulang.
Di Perak, sejak negeri itu jatuh ke tangan pembangkang (Pakatan Rakyat), kepimpinan Tajol Rosli dikatakan masih tidak banyak berbeza. Beliau suka 'mengasingkan diri,' hingga kini, sikap itu dilihat masih berterusan, sekali gus menampakkan UMNO Perak kian 'layu.'
Malah, tidak banyak program bersama rakyat atau langkah-langkah drastik yang diketahui umum dilakukan dalam usaha merampas kembali negeri tersebut.
"Sepatutnya setelah Perak jatuh (pada pilihan raya umum lalu), UMNO perlu disusun semula dengan memberi lebih ruang kepada pemimpin muda yang lebih dinamik.
"Ini bukan sahaja dapat menggerakkan UMNO Perak, tetapi memberi nafas baru kepada parti," kata Mustafa lagi.
Pada masa sama jelas beliau, kepimpinan di peringkat Pusat juga harus sentiasa memantau kepimpinan UMNO negeri, agar perkara-perkara membabitkan peribadi tidak timbul.
"Pucuk pimpinan Pusat tidak boleh lagi sekadar menerima laporan semata-mata," ujarnya.
Memang tidak dinafikan Mohd. Tajol sentiasa sedar tentang peranannya. Tentu juga, beliau mahukan yang terbaik dalam setiap tindakannya. Namun, pendekatan cara lama tanpa wow factor mungkin tidak lagi berkesan untuk memikat rakyat.
Ini jelas dilihat berdasarkan tugasnya sebagai ketua pembangkang dalam persidanan Dewan Undangan Negeri. Ada yang mendakwa, beliau masih terbawa-bawa era kepimpinan sewaktu menjadi Menteri Besar.
Senario tersebut pastinya akan menjauhkan lagi rakyat daripada 'berdamping' dengan pemimpin-pemimpin UMNO.
"UMNO Perak kini umpama sebuah parti politik yang lesu dan masih memikirkan faktor status-quo selain gagal menjadi kumpulan pembangkang yang konstruktif.
"Isu yang timbul adalah isu klise yang tidak membawa lonjakan kepada parti dan ini membosankan rakyat," kata Mohamad Agus ketika diminta mengulas isu tersebut.
Sejarah membuktikan betapa UMNO amat berkait rapat dengan orang Melayu. Malah, UMNO tidak wujud tanpa orang Melayu.
"Malangnya, hari ini orang Melayu semakin menjauhi UMNO. Mengapa ini berlaku? Jawapannya ada pada orang Melayu.
Kepada UMNO Perak, berubahlah bagi menggelakkan keadaan yang lebih buruk melanda parti itu.