Adakan sistem pemilihan kenal pasti calon PRU - Nur Jazlan

Barisan Nasional (BN) perlu mempunyai satu sistem pemilihan bagi mengenal pasti calon yang sesuai bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mencetuskan perkara itu berharap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menimbangkan cadangan tersebut.

Menurutnya, ia bertujuan mengukuh dan memulihkan UMNO dan BN ekoran keyakinan rakyat terhadap kerajaan kini berada di tahap paling rendah.

Katanya, apabila Najib menyandang jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, jika sistem pemilihan dilaksanakan, ia membolehkan BN mengemukakan calon-calon yang sesuai dan benar-benar memahami aspirasi rakyat.

"Kita perlu satu pemilihan bakal-bakal calon di peringkat Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hendak bertanding pada pilihan raya umum.

"Pencalonan dibuka kepada semua orang. Calon yang menang dijadikan 'ayam tambatan' BN untuk dipertaruhkan pada pilihan raya tersebut," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata demikian kepada para pemberita selepas menyampaikan cek pinjaman Yayasan Tekun Nasional (Tekun) kepada 38 usahawan di Parlimen Pulai di sini hari ini.

Menurut Nur Jazlan, jika formula itu diamalkan, beliau merasakan tidak akan berlaku kes-kes ahli parti atau calon melompat ke parti lain, menikam dari belakang, derhaka atau menjadi pengkhianat parti.

"Ini kerana mereka sedar dipilih sebagai calon wakil rakyat oleh ahli-ahli parti yang mahu mereka memenuhi tanggungjawab selaku wakil rakyat," katanya.

Nur Jazlan berpendapat, sistem yang diguna pakai sekarang iaitu pucuk pimpinan parti menentukan calon tidak sesuai lagi kerana ia tidak menepati kehendak dan cita rasa di peringkat akar umbi atau rakyat.

Menurutnya, keadaan itulah yang sebenarnya menyebabkan UMNO dan BN lemah dan keyakinan masyarakat terhadap parti kini berada di tahap yang paling rendah.

"Ini kerana ada calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan tiada kekuatan dalaman, tiada ada keserasian dengan pemimpin setempat, dicurigai dan kesetiaan terhadap parti diragui," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url