MB sangkal bazir wang royalti minyak


Sebahagian besar wang royalti minyak akan digunakan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk tujuan pengurusan dan pembangunan negeri selain memastikan pendidikan anak-anak negeri itu terus terbela.

Sambil menyangkal dakwaan pembangkang kononnya wang royalti minyak digunakan untuk kerja-kerja tidak berfaedah atau membazir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, tuduhan tersebut jika dibiarkan boleh mengelirukan rakyat khususnya yang tinggal di pedalaman.

Beliau memberitahu, wang royalti yang diterima akan digunakan sebagai dana pendidikan untuk rakyat Terengganu meningkat tahap pendidikan.

''Kerajaan negeri mempunyai komitmen untuk melaburkan sejumlah peruntukan ke dalam beberapa bank tempatan sebagai dana pendidikan jangka panjang anak Terengganu," katanya selepas merasmikan Pusat Media untuk digunakan sepanjang proses pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Abdullah Murad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad berkata, kerajaan negeri akan menerima wang royalti tersebut daripada Petronas sebanyak dua kali setahun iaitu pada Mac dan September.

Mengenai pusat media yang ditubuhkan itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri akan memastikan semua petugas media dapat membuat liputan sebaik mungkin sepanjang kempen pilihan raya kecil itu berlangsung.

Pusat Media yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri bersama Kementerian Penerangan itu menyediakan kemudahan diperlukan seperti komputer dan WiFi.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url