Najib janji perubahan besar jika BN diberi mandat (PRK Kuala Terengganu)

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berjanji kerajaan akan membuat perubahan besar di Kuala Terengganu jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu 17 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan BN merupakan sebuah kerajaan yang mampu membuat perubahan untuk kesejahteraan rakyat berbanding PAS yang hanya tahu berjanji tetapi tidak mampu melakukannya.

"InsyaAllah jika bagi kita mandat ini, saya berjanji kita akan membuat perubahan yang besar di Kuala Terengganu," katanya ketika berucap pada majlis sarapan pagi di rumah setiausaha Umno bagi peti undi Paloh Zaki Mohd Yusof di Sungai Kiat, Kubang Bakung di sini hari ini.

Najib berkata ketika PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004, tiada satu masjid pun yang dibina parti itu sedangkan selepas BN memerintah kembali negeri berkenaan, sebanyak dua buah masjid dibina di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata BN terbukti membela nasib rakyat negeri itu apabila membangunkan bidang pendidikan sehingga Terengganu muncul negeri terbaik selama lapan tahun berturut-turut dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Beliau berkata PAS tidak mampu membuat perubahan malah sanggup menutup kelas-kelas tadika ketika berkuasa di Terengganu dulu.

"Siapa yang majukan bidang pendidikan...kerajaan BN. Siapa yang tutup kelas tadika..PAS. Dia tutup, kita buka, dia tak buat, kita buat, dia tiada wawasan, kita ada wawasan.

"Dia (PAs) ada sepanduk besar, kita ada tema besar untuk rakyat. Kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat begitu baik sebab itu kita hendak wakil rakyat Parlimen yang boleh berkhidmat untuk rakyat.

"Wakil rakyat PAS sudah berkhidmat selama lima penggal (sebagai anggota Dewan Undangan Negeri), ke mana lagi dia hendak pergi (bertanding Parlimen). (Jadi) pilihlah calon yang mendapat sokongan kerajaan BN," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di Kuala Terengganu memberikan mandat kepada BN kerana pelbagai program pembangunan akan dilaksanakan di kawasan berkenaan pada masa akan datang.

- Bernama
Next Post Previous Post
2 Comments
  • azlishukri
    azlishukri Khamis, 15 Januari 2009 pada 12:48:00 PG SGT

    tuan adha, saya link blog tuan.

  • MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)
    MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN) Khamis, 15 Januari 2009 pada 1:35:00 PG SGT

    ok, terima kasih

Add Comment
comment url