'Pilihan raya Terengganu ujian pertama' saya'

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini merupakan ujian pertama yang perlu dihadapi oleh Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang memulakan tugasnya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Menurutnya, setakat ini semua persiapan bagi melaksanakan proses penamaan calon pada 6 Januari ini dan penyediaan pusat-pusat pengundian serta pengiraan undi telah dilakukan dengan baik.

''Ya, sudah tentu saya akan turun ke Kuala Terengganu untuk merasai pengalaman pertama pilihan raya sebaik mengetuai SPR.

''Tetapi memandangkan ini adalah hari pertama, saya perlu mendapatkan taklimat daripada para pegawai dan ahli suruhanjaya bagi saya memahami segala tugas dan peranan SPR secara terperinci," katanya kepada pemberita di lobi Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

Beliau yang tiba pada 10 pagi ini di Ibu Pejabat SPR disambut oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan Setiausaha SPR, Datuk Ngah Senik.

Beliau yang sebelum ini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, tumpuan awal bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu adalah mempertingkatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan aspek keselamatan adalah terjamin.

''Kita perlu dapatkan maklumat tentang apa yang akan berlaku pada hari penamaan calon dan waktu berkempen, jadi risikan perlu mengambil langkah sewajarnya," kata beliau.

Dalam pada itu, sebagai usaha pertamanya untuk memperkukuhkan kedudukan SPR, Abdul Aziz turut menyambut baik saranan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman semalam mengenai cadangan supaya suruhanjaya itu diberikan kuasa penuh sepanjang tempoh pilihan raya.

''Kenyataan beliau semalam kita akan lihat dan bincang secara lebih teliti bersama ahli-ahli SPR bagi menentukan sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak," katanya.

Ditanya mengenai perkara baru yang bakal diperkenalkan, beliau menjelaskan, ia bergantung kepada isu dan masalah yang ditimbulkan.

Mengenai penyediaan senarai daftar pemilih yang lebih bersih, beliau berkata, ketika masih berada di KDN, pihaknya telah mengarahkan JPN agar membersihkan nama-nama mereka yang telah berumur 150 tahun ke atas.

''Adakah mereka itu masih hidup, jadi perlahan-lahan kita bersihkan kerana mengikut undang-undang waris perlu memaklumkan tentang kematian.

''Saya juga telah memberitahu JPN agar memperbetulkan urusan permit kubur sama ada yang dikeluarkan oleh polis atau pihak berkuasa tempatan, kalau ambil permit automatik JPN mesti tahu dan seterusnya padamkan nama, ini sedang diuruskan," katanya.

Katanya, selama ini berlaku kekeliruan apabila orang ramai menganggap permit kubur adalah surat pengesahan kematian sedangkan ahli keluarga atau waris perlu datang semula kepada JPN untuk memadamkan nama si mati.

Sementara itu, Wan Ahmad berkata, tuduhan pihak tertentu bahawa senarai daftar pemilih bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu tidak bersih hanya bertujuan menjatuhkan imej SPR.

''Tuduhan itu adalah tidak betul dan tidak adil kepada SPR kerana kita sudah mengemaskini daftar pemilih itu sehingga 4 Disember lalu dan disahkan pada 5 Disember lalu sedangkan penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Razali Ismail meninggalkan dunia pada 28 November lalu.

''Ini adalah senarai daftar pemilih paling bersih dan terkini, kalau ada orang mati selepas tarikh itu, lainlah cerita kerana di negara kita ini sekurang-kurangnya ada orang mati setiap hari," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url