Projek LCCT Labu Air Asia ditolak
Menurut sumber, syarikat penerbangan tambang murah itu bagaimanapun dikatakan memperolehi beberapa konsesi.
Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) difahamkan akan diberi tanggungjawab membina sebuah terminal penerbangan tambang murah (LCCT) yang baru, berdekatan terminal sekarang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Keputusan untuk membatalkan projek itu disampaikan kepada AirAsia pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan dihadiri para pegawai Kementerian Kewangan, MAHB, dan AirAsia hari ini.
Sumber itu menyatakan AirAsia berjaya mendapat jaminan mengenai caj dan cukai lapangan terbang lebih rendah, yang ia akan berunding dengan MAHB dan juga dibenarkan memberi input mengenai spesifikasi LCCT baru itu.
Katanya, syarikat penerbangan tambang murah itu diberi masa untuk mengemukakan senarai keperluannya dalam LCCT baru itu.
Caj itu boleh diturunkan sehingga separuh, kata sumber tersebut.
AirAsia sentiasa mengadu tentang caj di LCCT sekarang kerana berpendapat caj dan cukai yang dikenakan di lapangan terbang itu sepatutnya lebih rendah daripada di KLIA ekoran kurang kemudahan.
Pada mesyuarat itu, AirAsia diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Tony Fernandes.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, Tony berkata, AirAsia menganggap hasil mesyuarat itu sebagai amat positif dan kini ia menunggu butiran lengkap.
Katanya, AirAsia komited bagi menyediakan perkhidmatan berkelas dunia, lima bintang melalui sebuah LCCT yang dibina khas.
Menurutnya, AirAsia turut komited menjadikan Kuala Lumpur sebuah hab serantau bagi syarikat penerbangan tambang murah agar dapat memberi sumbangan lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Dari segi kewangan, ini merupakan berita baik bagi AirAsia.
“AirAsia yang kini mempunyai geran yang tinggi, tidak perlu lagi mendapatkan pembiayaan untuk membina LCCT baru itu,” katanya.
– BERNAMA