'Saya sedia jadi jambatan bagi rakyat' - Wan Farid
Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersedia menjadi 'jambatan' untuk menghubungkan suara rakyat kawasan itu dengan pemimpin negeri dan Pusat secara lebih berkesan jika diberi peluang menjadi wakil rakyat.
Menurutnya, beliau akan pastikan suara mereka didengari oleh pemimpin kedua-dua peringkat supaya lebih banyak pembaharuan dapat dilaksanakan di kawasan tersebut.
''Saya tawarkan diri untuk menyambung perkhidmatan Datuk Razali Ismail, jadi jambatan antara tuan-tuan dengan kerajaan negeri dan Pusat.
''Saya rayu berilah peluang kepada saya jadi wakil rakyat, tuan-tuan hantarlah saya ke Dewan Rakyat untuk jadi jambatan, bolehlah suara tuan-tuan didengari," ujarnya ketika berucap pada majlis jamuan rakyat di sini hari ini.
Menurut Wan Ahmad Farid, selama ini pun beliau telah melaksanakan tugasnya menjadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan negeri melalui kapasitinya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.
''Dalam tempoh sekarang pun, saya sampaikan rayuan mereka yang mahukan bantuan pakaian sekolah untuk anak-anak yang bersekolah menengah kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said. Dengan segera beliau luluskan bantuan itu," ujarnya.
Sebelum itu ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Perayu Undi Wanita Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu Wan Ahmad Farid berkata, beliau rela melepaskan kedudukan sebagai Senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 5 Januari ini untuk menerima amanah parti sebagai calon BN.
Selain itu jelasnya, beliau juga tidak kisah 'berjauhan' dengan isteri serta keluarga akibat kesibukan bertemu rakyat.
''Sejak diumumkan jadi calon, saya jumpa isteri satu atau dua minit saja di rumah, kadang-kadang selisih tengah jalan saja, cuma angkat tangan saja. Tapi saya percaya kejayaan dalam pilihan raya kecil nanti adalah kejayaan untuk kita semua," ujarnya.
Wan Ahmad Farid berkata, beliau juga menyedari sebagai calon semua gerak-gerinya menjadi tumpuan.
''Cara berjalan, turun kereta semua orang tengok. Tentulah jika orang nak cari kelemahan saya mudah saja. Oleh itu saya minta maaf jika ada perlakuan saya yang tidak disenangi," ujarnya.
Wan Ahmad Faris yakin perancangan serta bantuan daripada perayu-perayu undi Pergerakan Wanita UMNO akan membantu beliau mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
- Utusan