Tarik belia dekati UMNO sebelum terlambat
Selepas dilanda tsunami politik pada pilihan raya umum yang lalu, UMNO jelas masih tidak berubah dan tidak mahu mengakui kelemahannya sendiri. Pelbagai teguran dan sindiran pedas telah kita dengar namun tiada perubahan yang dilakukan. Malah, orang UMNO yang bersikap kritis dicap sebagai penderhaka!
Kini, ternyata suara-suara 'penderhaka' ini ada kebenarannya. Buktinya, dalam dua pilihan raya kecil lalu. Kekalahan di Permatang Pauh masih boleh diterima, tetapi kekalahan di Kuala Terengganu tidak boleh diterima langsung walau apa pun alasan yang diberi.
Keputusan pahit ini menunjukkan betapa UMNO perlu bangkit dan mengorak langkah segera untuk memenangi hati rakyat, terutamanya golongan muda.
Saya menyokong penuh artikel yang ditulis oleh Zulkiflee Bakar yang mempertikaikan peranan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di Kuala Terengganu. Penilaian dan pendapat penulis memang ada kebenarannya. Pasti ada yang melenting.
Sekiranya kelemahan tersebut masih tidak diatasi segera, saya rasa tidak mustahil UMNO akan rebah dan tinggal sejarah pada pilihan raya umum akan datang. Jika ini berlaku, apalah gunanya jawatan yang selama ini direbut oleh pemimpin-pemimpin UMNO.
Sehingga hari ini, saya tidak nampak pun usaha dilakukan oleh Pergerakan Pemuda atau Puteri UMNO untuk menangani masalah ini. Sudah berapa ramaikah golongan muda yang berjaya ditarik menjadi ahli UMNO? Sudah berapa banyakkah program berkesan yang disusun untuk mendekati mereka? Malah, pemimpin-pemimpin sayap ini dilihat lebih cenderung kepada pemilihan parti yang akan datang Mac depan.
Adakah Ketua Pemuda dan Ketua Puteri yang bakal meninggalkan tampuk kepimpinan masing-masing hanya hendak melepas tangan dan membiarkan pergerakan mereka bertukar corak kepimpinan baru? Saya rasa, pemimpin baru sayap tersebut nanti sudah pasti terkial-kial mencari rentak sekiranya landasan yang ditinggalkan masih belum lurus.
Pada ketika sayap UMNO mencari rentak, parti pembangkang pula semakin utuh dan masa untuk kita menghadapi pilihan raya umum akan datang semakin singkat.
Di manakah perginya kesinambungan program-program yang pernah dilakukan seperti Pemuda masuk kampung dan sebagainya? Di manakah hilangnya semangat juang Gelombang Biru yang satu ketika dulu amat berkesan sehingga UMNO berjaya menumbangkan kerajaan Pas di Terengganu? Di manakah hilangnya asas perjuangan UMNO yang satu ketika dahulu amat digeruni pihak pembangkang?
Adalah amat sedih sekali, semangat juang tersebut telah semakin pudar dihanyut zaman sehinggakan golongan cendekiawan Melayu sendiripun tidak merasai hasil perjuangan UMNO yang telah banyak berjasa kepada orang Melayu.
Barangkali sikap sesetengah pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri telah membuatkan mereka muak dan jijik untuk mendekati UMNO.
Bangkitlah! Kita sudah tidak punya masa lagi untuk bersengketa, menuding jari dan terus hidup dengan selesa. Ingat, UMNO tidak pernah berdosa kepada orang-orang Melayu.
Tetapi pemimpin-pemimpin UMNOlah yang akan menanggung dosa paling besar jika UMNO tumbang dan lenyap dari bumi bertuah ini.
TUN MAMAT
Gunung Ledang, Johor