TV3 optimis rating AJL23

ACARA Anugerah Juara Lagu (AJL) yang sudah pun memasuki tahun ke-23 sememangnya memberikan impak yang cukup besar dalam industri hiburan tanah air.

Malah, acara anugerah tahunan itu sememangnya cukup dinantikan saban tahun oleh peminat mahupun pemerhati dunia hiburan tempatan.

Segala-galanya tentang AJL cukup diperhatikan baik dari segi lagu yang layak ke peringkat akhir sehinggalah ke barisan artis yang masuk bertanding.

Disebabkan itu juga, ramai yang membuat telahan dan spekulasi dengan mengatakan TV3 mahu artis-artis yang mempunyai nama besar menyertai pertandingan berprestij itu agar mereka dapat mempertahankan rating yang menjadi keutamaan mereka sebelum ini.

Seperti tahun ini, antara nama besar yang menyertai AJL23 adalah pengantin baru, Mawi yang menyampaikan lagu Doa Dalam Lagu secara duet oleh finalis Akademi Fantasia (AF) musim kelima, Heliza menerusi kategori Etnik Kreatif.

Namun, juara AF musim ketiga itu tidak dapat menyampaikan lagu hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Allahyarham Loloq itu kerana akan pergi berbulan madu. Untuk itu, tempat Mawi telah digantikan dengan juara AF musim kedua, Zahid.

Melihatkan senario itu, terfikir juga adakah dengan ketiadaan Mawi pada malam gilang-gemilang itu nanti akan menjejaskan rating AJL23 yang mengambil tema Iluminasi Muzik tahun ini?

Menjawab persoalan itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin menjelaskan, perkara itu tidak langsung menimbulkan kegusaran TV3 kerana apa yang penting kali ini adalah barisan 14 lagu yang bertanding.

"Dalam kes Mawi ini, sebenarnya, ia semua berlaku dalam saat akhir dan dia sendiri tidak sedar bahawa dia telah terikat dengan komitmen berbulan madunya ketika menyanyi di separuh akhir tidak berapa lama dulu.

"Kami faham dengan keadaannya dan dia sendiri sudah memaklumkan kepada kami serta memohon maaf kerana tidak dapat membuat persembahan pada AJL kali ini.

"Sama ada Mawi ada atau tiada, itu tidak akan menjejaskan perjalanan anugerah ini kerana AJL itu sendiri sudah bagaikan satu jenama yang mempertandingkan lagu-lagu berkualiti untuk dinobatkan sebagai Juara Lagu," kata Amrin pada sidang media AJL23 serta penentuan giliran persembahan baru-baru ini.

Untuk itu, Armin berkata, pihaknya berdepan dengan tekanan yang cukup hebat dalam memastikan perjalanan AJL23 berjalan lancar sementelah tahun lalu, ia mencatatkan rating yang paling tinggi.

"Apa jua perkara yang kami lakukan sememangnya sukar untuk memuaskan hati semua pihak. Perkara pokoknya, adalah untuk menghasilkan rancangan yang baik dan berkualiti untuk memuaskan hati penonton kami.

"Tidak dinafikan, pelbagai kritikan dan pandangan kami terima setiap kali selepas AJL berakhir. Untuk pengetahuan semua, kami mengambil kira semua faktor untuk kami menghasilkan rancangan yang berkualiti," katanya lagi.

Amrin turut menambah, pihaknya begitu gembira melihat perkembangan dan evolusi muzik yang berkembang dengan begitu pesat sekali meskipun industri muzik tempatan dilanda kesuraman yang entah bila akan kembali ceria.

Dengan mengambil contoh kemenangan mengejut kumpulan Estranged tahun lalu yang dinobatkan sebagai Juara Lagu, ia jelas menunjukkan selera muzik peminat tempatan kini jauh berbeza seiring dengan perkembangan muzik semasa.

"Pemilihan 14 buah lagu untuk AJL23 sekali gus menangkis dakwaan bahawa kami mempunyai artis kegemaran untuk dibawa masuk bertanding ke peringkat akhir.

"Itu sama sekali tidak benar kerana kalau artis itu popular tetapi lagunya kurang berkualiti, lagu itu tetap tidak akan berjaya," ujar Amrin berhubung spekulasi liar yang mendakwa TV3 mengutamakan artis dalaman mereka.

Mengenai pemilihan juri yang menjadi bahan kontroversi saban tahun, Amrin memberitahu, senarai juri hanya akan diketahui sehari sebelum pertandingan bermula.

"Kami masih lagi belum memutuskan siapa yang bakal menjadi juri dan ketua jurinya. Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, kami sememangnya telus apabila melibatkan juri untuk menilai dan seterusnya memilih pemenangnya.

"Seperti yang saya katakan tadi, bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Pasti ada alasan kukuh dalam setiap keputusan yang dilakukan oleh pihak juri," kata Amrin lagi.

AJL23 yang mendapat penajaan oleh STAGE Cosmetics tahun ini turut menyaksikan Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar sebagai pengacara.

Selain itu, AJL23 turut mengundang penyanyi tersohor, M. Nasir dan Jamal Abdillah serta Jaclyn Victor sebagai artis jemputan manakala juara Gang Starz musim kedua, One Nation Emcees akan membuka tirai AJL23 dengan persembahan mereka.

AJL23 akan berlangsung pada 18 Januari ini bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta laman web www.tv3.com.my dan www.gua.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url