200,000 tiket Piala Dunia dijual dalam tempoh 24 jam
Malah dalam tempoh 24 jam selepas dibuka untuk jualan di seluruh dunia, sebanyak 216,975 permohonan tiket Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia yang akan bermula pada 11 Jun 2010 diterima melalui laman web Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semalam.
Lebih menarik, permohonan menakjubkan daripada 128 negara itu tidak termasuk permintaan melalui borang biasa oleh penduduk Afrika Selatan di cawangan bank tempatan yang dilantik.
Antara negara yang membuat permohonan atas talian paling tinggi ialah dari Afrika Selatan diikuti Britain, Amerika Syarikat, Jerman, Brazil, Australia, Jepun, Mexico, Kanada, Switzerland, Ireland, Belanda, Sepanyol dan Argentina.
“Ia merupakan angka yang amat menakjubkan disebabkan keghairahan berterusan di seluruh dunia bagi Piala Dunia 2010 dan kali pertama di benua Afrika. Ia amat mengujakan dan menguatkan bukti bahawa keluarga bola sepak dunia mahu menjadi sebahagian daripada acara unik di benua yang amat istimewa ini” kata Pengerusi Jawatankuasa Kecil Tiket FIFA, David Will.
Apa pun, peminat bola sepak mempunyai masa sehingga tengah malam 31 Mac ini untuk membuat permohonan tiket mereka menerusi laman web, www.fifa.com.
– AFP