Anak Raja Bahrin kahwin bulan depan

Selepas 17 tahun dibawa pulang oleh bapanya ke Malaysia, anak kedua arkitek terkenal, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah kini meniti saat-saat bahagia.

Raja Shahirah Aishah, 23, akan melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya yang dikenali sebagai Syarul Reza pada 7 Mac ini.

Perkahwinan Raja Shahirah akan berlangsung di Aryani Resort, Merang di Setiu.

Kad jemputan perkahwinan bakal pengantin itu termasuk kepada media mula diedarkan oleh pihak pengantin perempuan minggu ini.

Kad berwarna coklat dan putih itu menjemput hadirin ke majlis itu antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5.30 petang, manakala acara persandingan akan diadakan kira-kira pukul 2 petang.

Raja Kamarul Bahrin ketika dihubungi berkata, ia merupakan saat bahagia untuk anak keduanya dengan pasangannya yang berasal dari Selangor.

''Kami telah menjemput ramai orang untuk meraikan majlis perkahwinan Raja Shahirah," ujarnya.

Walaupun menerima kehadiran media pada majlis itu nanti, beliau berharap kehidupan anak-anaknya tidak akan disensasikan.

''Hentikanlah segala kontroversi atau mengajukan pelbagai soalan yang boleh mengganggu kehidupan kami," ujarnya.

Katanya, beliau turut menjemput ibu Raja Shahirah, Jacqueline Pascarl-Gillespie ke majlis perkahwinan tersebut.

Selepas dibawa pulang dari Australia pada 1992, Raja Shahirah bersama abangnya Raja Baharuddin, 26, sekali lagi menarik perhatian media apabila mengunjungi ibu mereka pada 2006.

Kes pertikaian hak penjagaan anak antara Raja Kamarul Bahrin dengan Jacqueline mendapat perhatian penduduk Malaysia dan Australia pada 1985.

Raja Baharuddin dan Raja Shahirah berusia 9 dan 7 tahun sewaktu mereka dibawa ke Malaysia oleh bapa mereka yang melawat negara itu pada 1992.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url