Anwar kekal sebagai ketua Pakatan Rakyat

DAP akan terus menyokong pemimpin umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang, kata setiausaha agungnya Lim Guan Eng.

Beliau berkata Anwar akan kekal sebagai ketua Pakatan Rakyat (PR)seperti yang dipersetujui barisan kepimpinan pakatan itu.

"Beliau akan kekal demikian kerana tiada mana-mana pemimpin yang pernah mempersoalkan perkara ini pada mesyuarat dalaman, sama ada di peringkat tertinggi atau sebaliknya," kata Lim dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata PR telah meluluskan suatu ketetapan bahawa tiada dasar mana-mana parti boleh dianggap sebagai dasar PR, melainkan ia dilulus sebulat suara oleh ketiga-tiga parti yang menganggotai pakatan itu.

Lim juga merayu pengerusi DAP Karpal Singh supaya menggunakan saluran dalaman parti jika ingin mengubah dasar PR dan tidak menggunakan media bagi tujuan itu.

Pada sidang akhbar semalam, Karpal berkata Anwar tidak layak memimpin PR kerana beliau hanya memberi masalah kepada pakatan pembangkang itu.

Karpal membuat kenyataan itu ketika PR baru saja kehilangan kerajaan negeri Perak kepada Barisan Nasional (BN) Jumaat lepas, yang menurut beliau berpunca daripada tindakan tidak bermoral Anwar meminta wakil rakyat BN menyertai PR bagi menguatkan kedudukannya.

Di IPOH, anggota Jawatankuasa Pusat DAP Lim Kit Siang berkata setiap parti tidak boleh lari daripada masalah perbezaan pendapat di kalangan anggotanya.

"Sememangnya kami ada perbezaan (pendapat) dan ia akan diselesaikan dalam parti," katanya pada taklimat mengenai perkembangan politik di Perak kepada anggota DAP di sini.

Kit Siang berkata demikian bagi mengulas kenyataan Karpal semalam yang mendakwa beliau dan anaknya Guang Eng merupakan antara pemimpin DAP yang tidak memberi sokongan kepadanya sebagai Pengerusi DAP, sebaliknya lebih menyokong Anwar.

Kit Siang berkata DAP akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam usaha menewaskan BN.

Mengenai isu peralihan kuasa di Perak, beliau mendesak Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan kerana mendakwa kerajaan Perak yang ditubuhkan oleh BN adalah tidak sah dan pelantikan Menteri Besar juga tidak sah.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url