Cherating - Santuari perlindungan penyu

Asalnya, Cherating hanya perkampungan nelayan yang sunyi dari pembangunan. Lewat dekad 70-an, ia mula dikunjungi pengembara 'backpackers' yang terpesona dengan keindahan persisiran pantai putihnya yang panjang.


Namanya semakin popular dengan pembukaan pusat peranginan Club Med pertama di Asia, sekitar 80-an. Ini meletakkan pantai Cherating dalam peta dunia.

Usah mengeluh jika tidak berpeluang menginap di kelab percutian ternama ini. Ada banyak pilihan penginapan yang boleh disesuaikan dengan kehendak dan keperluan anda.

Jika bajet besar, anda boleh menginap di pusat peranginan lima bintang atau pilih sahaja hotel dan chalet kecil sepanjang pantai peranginan ini.

Malah, jika bernasib baik, anda hanya perlu membayar serendah RM40 semalam untuk tinggal dalam pondok kayu - lengkap dengan tilam dan kipas siling.

Lazimnya, bilik dengan harga serendah ini tidak disediakan kemudahan televisyen, air panas dan sarapan.

Namun, bilik hanya untuk tidur kerana di Cherating banyak aset untuk anda terokai.

MESTI BUAT
Persisiran pantainya yang panjang (bayangkan, pantai berdepan di Club Med saja melebihi empat kilometer) membolehkan pelbagai aktiviti sukan air dan pantai diadakan sepanjang tahun.

Bola tampar, kayak dan mengikuti pelayaran dengan kapal persiaran - semuanya boleh dilakukan di pantai awam ini. Selain itu, jangan lupa mencuba aktiviti lasak seperti paraseiling dan paragliding.

Aliran terkini juga menyaksikan pusat peranginan popular menyediakan All Terraine Vehicle (ATV), kenderaan rekreasi dengan graviti rendah kepada tetamu mereka.

Jika ada yang mahu berjinak-jinak snorkling atau sukan selam skuba, anda boleh berkunjung ke Pulau Ular, daratan kecil tidak jauh dari kawasan pantai yang belum dibangunkan.

Cherating juga mula menarik tumpuan peminat sukan luncur air, menjadikannya destinasi percutian sukan ini di rantau Asia Pasifik, selepas Bali, Indonesia dan Gold Coast, Australia.

Ini dapat dilihat menerusi penganjuran Billabong Pro Am Cherating 2008, pertengahan Disember lalu dan beberapa sekolah luncur yang dibuka di pantai peranginan ini.

Menariknya, acara tahunan kali ketiga yang dianjurkan Majlis Tindakan Pelancongan Pahang ini menarik penyertaan hampir 100 peluncur amatur dan profesional.

Ada yang datang dari Jepun, Mesir, Indonesia, Peru, Thailand dan Australia semata-mata untuk menyaksikan kejohanan ini. Turut menyelit, anak jati tempatan yang mahu bertapak dalam sukan ini.

KEMAMAN
Terlanjur ke Cherating, luangkan seketika memandu melangkau sempadan untuk mengunjungi kopitiam popular di Jalan Sulaiman yang kini menjadi identiti bandar Kemaman.

Hai Peng, kopitiam yang dibuka sejak 1940 bukan saja terkenal dengan keenakan roti bakar dan kopi ais, selain hidangan nasi dagang dan nasi lemak dijual dalam bungkusan kecil.

Popularitinya menyebabkan ia sering kali dipenuhi orang luar. Mungkin kerana itu, beberapa kedai dengan konsep sama juga dibuka di sekitar bandar ini.

Sepanjang jalan besar menuju ke pantai timur ini, anda boleh membuat hentian untuk membeli keropok lekor, produk makanan laut, otak-otak dan satar.

Tidak sukar mencari makanan laut kerana ada banyak restoran menghidangkan hidangan kampung dan pilihan menu masakan laut.

Mungkin ada antara pengusaha yang mengenakan 'harga pelancong' tetapi jika pandai memilih kedai yang agak jauh dari pantai, pengunjung pasti berpuas hati dengan harga berpatutan.

TARIKAN LAIN
* Pelancong boleh mengunjungi santuari perlindungan penyu di pantai Cherating untuk melihat anak penyu yang baru menetas dan belajar mengenai pemuliharaan hidupan marin yang kian pupus ini.

* Bagi pencinta alam, kunjungan ke Air Terjun Sungai Pandan boleh memberikan pengalaman baru yang tidak dapat dilupakan. Anda boleh menyertai pakej lawatan harian ke bandar Sungai Lembing.

* Jika sudah jemu dengan kehidupan kampung, tetamu boleh memilih untuk meneroka keunikan yang ditawarkan oleh Kuantan termasuk Berjaya Megamall atau Kuantan Parade.

* Jika bukan peminat luncur angin, anda masih boleh mencuba pelbagai aktiviti lain termasuk jet ski, kayak, mendayung, kapal layar, memancing atau mengenal burung.

* Pakej 'river cruise' menyusuri Sungai Cherating pula hanya sesuai untuk mereka yang mahu menikmati keindahan alam semula jadi dalam suasana tenang tanpa gangguan.

*Kompleks budaya Cherating (waktu operasi 3 - 6 petang, setiap hari kecuali Isnin) menawarkan demonstrasi pembuatan kraftangan, persembahan kebudayaan dan galeri batik.

* Si kecil pula pasti terpesona dengan peluang menunggang kuda di tepi pantai.

CARA KE SANA
>Cherating terletak tiga jam setengah perjalanan dari ibu kota melalui Lebuh raya Pantai Timur. Ada bas harian ke Kuantan dari ibu kota. Dari Kuantan, anda boleh menaiki teksi atau bas Kuantan-Kemaman melalui Cherating setiap setengah jam dari stesen di Jalan Besar.

>Cara lain adalah menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Dungun atau Kemaman di Terengganu dan pastikan anda menunggu di Cherating. Pantai ini juga terletak kurang setengah jam dari Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan.

*Kunjungan penulis ke Cherating sempena penganjuran kejohanan luncur air tahunan, Billabong Pro Am Cherating 2008 diaturkan oleh Tourism Malaysia Pahang.

RUJUKAN PERCUTIAN
Tourism Malaysia Pahang
Tel: 609-517 7111 / 112 / 115
Faks: 09-517 7114
Emel: mtpb.pahang@tourism.gov.my
www.tourism.gov.my
Talian pelancongan :1-300-88-5050
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url