Dibelenggu fobia melamin

Barangan seperti susu, ubat gigi, ubat batuk, makanan haiwan, belut, pencair darah, aksesori kereta, khinzir, telur, madu, ayam, kuih-muih, minyak masak dan beras - sekiranya ia produk tiruan atau tercemar kita dengan pantas meneka ia adalah buatan China.
Skandal keselamatan produk yang berturut-turut, termasuk produk susu tepung bayi yang tercemar dengan melamin dan telah meragut enam nyawa serta membuatkan ribuan lagi jatuh sakit, telah menggoyahkan keyakinan pengguna untuk membeli barangan dari negara itu walaupun ia dijual dengan harga murah.
"Saya berasa jijik apabila menonton apa yang berlaku di televisyen. Sekiranya saya membeli belah dan terambil produk dari China, saya akan cepat-cepat meletakkannya kembali," kata seorang ibu kepada dua anak, Sally Villegas merujuk kepada skandal susu tercemar yang mula menjadi kebimbangan dunia sejak September lalu.
Skandal melamin itu adalah siri terbaru masalah keselamatan produk berprofil tinggi selepas penemuan plumbum pada alat mainan dan pencair darah heparin yang tercemar.
Selepas setiap skandal, Beijing dilihat mengambil tindakan serupa setiap masa iaitu melancarkan operasi besar-besaran, siaran televisyen yang menunjukkan pihak berkuasa memusnahkan barangan tercemar dan memenjarakan beberapa pegawai yang didakwa sebagai "punca masalah."
Masalahnya ialah usaha dan gesaan kerajaan China ini gagal menghentikan skandal keselamatan produk daripada terus berlaku di masa depan kerana penguatkuasaan yang kurang, masalah ekonomi bagi industri, belenggu kemiskinan dan saiz negara serta populasi yang besar.
"Saya pasti perkara ini akan berulang. Ia tidak terhad dalam bidang makanan saja malah dalam beberapa sektor lain.
"China berdepan dengan banyak masalah kerana ia berkembang maju dengan ekonomi yang lemah dan kita tidak boleh menggunakan mekanisme keselamatan ala-Barat dalam keadaan ekonomi di mana separuh populasi memperoleh beberapa dolar saja sehari," jelas seorang penganalisis di di Unit Perisikan Ekonomi di Beijing, Duncan Innes-Ker.
Naib Presiden Kumpulan Industri Yili yang terletak di Inner Mongolia, Jin Biao mengakui masalah pencemaran melamin baru-baru ini telah mencemarkan reputasi negara di kaca mata dunia.
"Pencemaran yang berlaku adalah masalah pengurusan kami. Kami perlu menyelesaikannya tanpa menuding jari kepada peladang, masyarakat atau negara," katanya kepada pemberita.
Yili adalah pengeluar produk susu terbesar China dan merupakan salah satu daripada 22 syarikat yang mengeluarkan susu tercemar dengan melamin walaupun selepas siasatan rapi, masalah tersebut telah dihapuskan dari industri susu.
Melamin adalah bahan kimia yang digunakan untuk membuat plastik, dimasukkan ke dalam susu bagi menipu ujian kawalan kualiti yang memeriksa paras protein. Skandal yang berlaku menyebabkan produk susu dari China diharamkan di seluruh dunia.
Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan amaran import ke atas produk makanan China dengan tindakan penghantaran dihentikan di sempadan kecuali pengimport dapat menunjukkan bukti makanan atau produk berasaskan susu yang dibekalkan bebas melamin atau tidak.
"Saya rasa sudah terbukti kepada China bahawa masalah kualiti bukan saja menjejaskan segmen industri malah turut menjejaskan imej buatan China," kata Setiausaha Kesihatan AS, Mike Leavitt dalam satu lawatan terbaru ke Shanghai.
Tindakan AS menyebabkan China marah kerana ia disifatkan sebagai unilateral namun pengguna telah pun "mengundi" dengan dompet masing-masing.
Masalah melamin yang timbul, membuka rezeki baru kepada negara jiran apabila pasar raya di Taiwan dilaporkan mengalami peningkatan jualan produk susu buatan Taiwan.
Namun menurut pengarah urusan sebuah firma penyelidikan, Access Asia, Matthew Crabbe, bukan mudah untuk memboikot barangan China kerana ramai orang yang tidak faham bahawa barang buatan negara komunis itu adalah terlalu banyak.
"Mengalihkan pengeluaran ke negara lain yang akan merendahkan kos tidak akan menyelesaikan masalah. Malah ia akan berulang kerana apa yang penting ialah kawalan kualiti," katanya lagi.
Cabaran yang muncul akibat kadar kemiskinan di China adalah rasuah dan kuasa autonomi kerajaan tempatan yang kebanyakannya terletak ratusan kilometer dari Beijing.
Budaya menyembunyikan berita buruk atau menangguhkan laporan kepada pihak atasan turut memburukkan lagi keadaan.
Pihak berkuasa bandar Shijizhuang yang menempatkan syarikat Sanlu yang menjadi tumpuan skandal susu tercemar melamin, gagal melaporkan masalah itu lebih awal kerana bimbang ia akan merosakkan imej gembira yang dibawa oleh Temasya Olimpik Beijing. Bagaimanapun, pemantau mendakwa tabiat itu sudah diubah.
Penasihat serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang beribu pejabat di Manila, Anthony Hazzard menyatakan bahawa tindakan China yang mula berkongsi maklumat mengenai skandal melamin adalah bijak.
"Mulai wujud keterbukaan dan perkongsian maklumat yang mengukuhkan keyakinan. Rasa yakin pengguna dan dunia sekarang tercemar namun satu-satunya cara mengembalikannya adalah dengan mewujudkan sistem kawalan makanan dari ladang hingga ke meja makan dan kami harap ia akan diaplikasikan," tambah beliau.
Entah apa skandal yang akan terbongkar di masa depan dalam negara yang mana penyalahgunaan dadah adalah perkara biasa serta keghairahan rakyat untuk mendapatkan wang segera.
"Mungkin selepas ini muncul pula masalah produk palsu dalam industri farmaseutikal contohnya dalam sektor pil herba.
"Hanya Tuhan yang tahu apa yang terkandung dalam pil yang dijual dan undang-undang apa yang dipakai dalam industri berkenaan," ujar Crabbe.
- REUTERS

