Eropah dilanda salji terburuk
Namun jika cuaca salji semakin memburuk dan memberi kesan yang nyata terhadap kehidupan penduduk pastinya ia bukan lagi satu kemeriahan yang perlu disambut, seperti yang melanda Eropah sekarang.
Keadaan cuaca salji yang memburuk sejak bulan lepas telah memberi kesan yang nyata terhadap kelangsungan hidup penduduk di beberapa negara di barat Eropah. Ini ditambah pula dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin tenat sekarang, pastinya ia menghangatkan lagi kemarahan penduduk yang tertekan.
Ribut salji yang melanda negara-negara di Barat Eropah seperti Britain, Perancis, Portugal dan Sepanyol malah turut dirasai di Maghribi telah meragut enam nyawa setakat ini. Negara-negara ini telah diselimuti salji tebal paling teruk dalam masa 18 tahun, dengan kedalaman melebihi empat inci.
Cuaca buruk kali ini benar-benar menimbulkan suasana huru-hara dan panik serta mengganggu urusan seharian orang ramai. Keadaan ini telah melumpuhkan sistem pengangkutan seperti kereta api dan bas serta menyukarkan pergerakan lalu lintas.
Industri penerbangan turut terjejas teruk dengan banyak penerbangan terpaksa dibatalkan dan tergendala. Malah sebuah pesawat dilaporkan tergelincir dari landasan.
Sebuah pesawat milik Cyprus Airways yang membawa 104 penumpang terkeluar dari landasan di Lapangan Terbang Heathrow namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Pihak berkuasa lapangan terbang itu kemudiannya menangguhkan semua penerbangan selama beberapa jam dan tindakan sama diambil di beberapa lapangan terbang lain.
British Airways juga telah membatalkan penerbangan pendek, namun jurucakapnya menyatakan yang syarikat itu berharap akan dapat melakukan 20 penerbangan jarak jauh termasuk ke Amerika Syarikat, Asia dan Afrika. Dua pendaki maut di Gunung Snowdon di Wales akibat cuaca buruk.
Di Perancis, kebanyakan penerbangan di Lapangan Terbang Charles de Gaulle terpaksa di batalkan namun penerbangan jarak jauh masih diteruskan. Keadaan jalan yang licin dan bersalji telah mengakibatkan berpuluh-puluh kemalangan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Tiga orang dilaporkan terbunuh dalam kemalangan jalan raya akibat salji tebal di Itali manakala 500 penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat bagi mengelakkan sebarang kemungkinan buruk.
Keadaan sama turut melanda Sepanyol dengan kebanyakan jalan raya terpaksa ditutup mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
Salji tebal turut mengganggu perjalanan feri di Maghribi malah ada di antaranya terpaksa dibatalkan kerana menghalang pemandangan. Apa yang pasti, musim salji yang selama ini sering dinanti dan diraikan kini semakin menyukarkan kehidupan penduduk.
Beberapa negara Eropah seperti Sepanyol dan Portugal bukanlah negara yang sering menerima salji setebal ini sebelumnya namun tahun ini keadaan dilihat sangat membebankan bagi mereka.
Jika direnung kembali, pastilah isu seperti pemanasan global akan kembali dijadikan alasan utama kenapa cuaca sejuk kali ini agak luar biasa berbanding sebelumnya.
Namun jika setakat cakap-cakap kosong tanpa sebarang pelaksanaan yang nyata bagi membendung isu pemanasan global, pastinya situasi sebegini akan terus berulang dari tahun ke tahun.
Sebelum ini telah banyak peristiwa membabitkan keadaan cuaca yang tidak dijangka telah berlaku seperti Taufan Narjis di Myanmar dan Taufan Hanna di Haiti yang mengorbankan ribuan nyawa.
Selain itu salji yang semakin mencair di Antartika akibat cuaca yang semakin panas, penerimaan salji di beberapa buah negara di Asia Tengah, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini serta musim tengkujuh yang semakin tidak menentu sehingga mengakibatkan banjir di kebanyakan negara termasuklah Malaysia merupakan antara sekelumit masalah yang timbul akibat isu pemanasan global.
Semua malapetaka ini telah dikaitkan dengan isu pemanasan global namun tiada sebarang jalan penyelesaian dilaksanakan hanya sekadar selesai di meja rundingan.
Isu pemanasan global perlu ditangani segera bagi mengelakkan kemusnahan dan kejadian pelik membabitkan iklim global seperti yang berlaku di Eropah berterusan berlaku.
Atau mungkin pada masa depan kita tidak lagi hairan dengan peristiwa sebegini kerana telah lali akibat dari kecuaian manusia sendiri.
- UTUSAN