Harussani tetap lantang pertahankan hak

Oleh ZULKIFLI JALIL
WARTAWAN UTUSAN

Daripada isu sekecil-kecilnya hinggalah menyentuh dasar kerajaan, semuanya 'diredah' oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria. Yang hak dikatakan hak. Yang salah dikatakan salah.

Pernah beliau meminta dibatalkan sahaja hasrat untuk menanam al-Quran di benua ais, Kutub Utara.

Juga, tidak setuju dengan cadangan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya pegawai polis yang menyampaikan khutbah Jumaat memegang senapang M-16 di atas mimbar bagi menggantikan tongkat. Katanya, suasana Malaysia yang aman di bawah pemerintahan yang stabil tidak mewajarkan senjata api dibawa ketika menunaikan solat, malah sebenarnya boleh mengundang perspektif negatif lagi.

Pada Februari 2007 apabila pemimpin kerajaan melancarkan Dewan Amal Islami (Damai) - badan yang menaungi semua NGO Islam (95 badan amal Islam dan 538 NGO lain) - Harussani dengan lantang mahu semua pihak melindungi badan itu daripada menjadi alat atau landasan untuk agenda politik.

Pada tahun itu juga apabila dilihatnya Muzakarah Ulama 2007 di Ipoh kurang mendapat sambutan daripada kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam, maka habis dibidasnya mereka.

Itulah perawakan dan sikap Harussani yang kini mencecah usia 69 tahun. Beliau sentiasa mendahulukan al-Quran dan hadis dalam segala tindakan dan perkataan untuk kesejagatan agama, bangsa dan negara.

Dan apabila Harussani dicerca dan dimaki para penyokong parti pembangkang ekoran kenyataannya dalam krisis politik di Perak tempoh hari bahawa 'sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah tetap dianggap menderhaka', ramai melihat Mufti Perak ini sebenarnya cuba diheret dalam sentimen dan fahaman politik pihak tertentu.

Asal ada yang tidak berpihak kepada 'mereka', habis dicarut oleh 'mereka'.

"Selagi pemerintah seperti Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak menyuruh kita melakukan maksiat, maka kita mesti taat. Jadi, sesiapa yang ingkar, maka derhakalah orang itu," demikian reaksi Harussani kepada Utusan Malaysia berhubung cacian yang diterimanya daripada penyokong pembangkang dan Internet.

Sememangnya banyak perbezaan pendapat atau pandangan antara Harussani dan Nik Abdul Aziz.

Begitu juga dalam pergolakan politik di Perak yang mana Mursyidul Am Pas itu tetap menganggap tindakan bekas Menteri Besar Perak yang juga 'anak buahnya', Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar Sultan Perak dalam penyelesaian kemelut politik negeri itu bukan suatu bentuk penderhakaan.

Rakyat khususnya umat Islam mengenali Harussani sebagai lelaki berperwatakan lemah lembut, sentiasa terukir senyuman di bibirnya terutama senang mengatakan yang hak dikatakan hak, yang salah dikatakan salah dan menjulang keagungan Islam di persada negara.

Ketika ditemui penulis selepas dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1430H/2008M pada 28 Disember lalu, beliau menegaskan, kelantangannya dalam mempertahankan kesucian dan kebenaran agama Islam merupakan sebahagian daripada tugas yang diamanahkan oleh agama.

"Saya akan terus menyatakan apa yang benar tanpa mengira siapa di hadapan saya kerana ia adalah hukum yang ditetapkan oleh Allah dan agama Islam sendiri," ungkapan kata-kata Harussani yang masih diingati penulis.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url