Hilang pekerjaan: Rakyat Malaysia belum sedia

Penduduk Malaysia didapati masih tidak bersedia untuk menghadapi risiko kehilangan pekerjaan berikutan krisis ekonomi global, menurut satu kaji selidik.

Kaji selidik itu mendapati secara purata simpanan rizab responden hanya mampu bertahan untuk tempoh 11 minggu sahaja apabila mereka diberhentikan kerja.

Ketua Segmen dan Pemasaran Peruncitan Citibank Bhd., Timothy Johnson berkata, ia kerana hasil kaji selidik Hasil Bahagi Kewangan yang dijalankan mendapati hanya dua daripada lima, atau 39 peratus, rakyat Malaysia mempunyai tabiat menabung secara konsisten.

Sementara 21 peratus lagi membayangkan simpanan mereka dapat bertahan empat minggu, katanya.

''Kalau berlatarkan suasana ekonomi semasa yang begitu mencabar, hasil kaji selidik ini agak membimbangkan.

''Ia kerana, sebaik-baiknya rakyat Malaysia yang diberhentikan kerja sepatutnya mempunyai rizab simpanan untuk sekurang-kurangnya enam bulan,'' katanya dalam taklimat media mengenai hasil kaji selidik suku tahun akhir Citibank 2008 di sini hari ini.

Kaji selidik itu merangkumi 500 temu bual dalam talian dengan mengajukan 40 soalan.

Timothy berkata, kaji selidik itu menjadi penanda aras kepada mereka yang ingin mengawal kedudukan kewangan terutama pada waktu sukar seperti sekarang.

''Cara ini akan memastikan mereka faham bagaimana perancangan kewangan yang tersusun boleh menolong mereka menjadi lebih berhemat dan memanfaatkan setiap ringgit ketika kegawatan ekonomi,'' jelas beliau.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan itu didapati banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan rakyat negara ini benar-benar arif dalam soal kewangan dan masih ada ruang peningkatan.

Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu memulakan tabiat menabung yang konsisten dari sekarang bagi mempersiapkan diri menghadapi cabaran mendatang, termasuk kegawatan ekonomi.

Jelas beliau, pengurusan kewangan bukan sekadar bermaksud membina kekayaan, sebaliknya ia adalah jaminan kewangan untuk memperoleh kualiti hidup yang lebih baik.

''Saya tidak menafikan ramai rakyat Malaysia keliru mengenai pengurusan kewangan yang sering dikaitkan dengan golongan kaya, sebaliknya golongan pertengahan dan bawahan yang amat memerlukan pengurusan kewangan ini,'' ujar beliau.

Bagaimanapun, Timothy memberitahu, secara keseluruhannya, amalan tabiat menabung di Asia termasuk Malaysia masih tinggi.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url