Komentar - Berlaku adil kepada semua pemohon kerja sektor awam
Tsunami ekonomi yang bermula di Amerika Syarikat apabila ia terjerumus dalam krisis pinjaman paling teruk, sebelum merebak ke Eropah dan negara lain termasuk Asia, kini mula dirasai gegarannya di Malaysia.
Beberapa syarikat terutama yang terlibat dengan industri pembuatan mula terasa kesannya dan ada yang tidak dapat menahan impaknya hingga terpaksa memberhentikan pekerja.
Dalam unjuran Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) ada kemungkinan seramai 200,000 hingga 400,000 pekerja diancam diberhentikan kerja pada tahun ini.
Hakikatnya sekarang pemberhentian pekerja telah pun berlaku. Sebab itu kerajaan perlu bertindak pantas menangani krisis guna tenaga ini.
Pengumuman Kementerian Sumber Manusia bahawa sebanyak 20,000 kerja kosong pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam yang masih belum diisi, dan akan ditawarkan kepada pekerja sektor swasta yang diberhentikan akibat kelembapan ekonomi dunia merupakan satu berita gembira.
Pun begitu, kaedah untuk mengatasi masalah pengangguran daripada sektor perindustrian ini dengan menawarkan kerja di sektor awam memerlukan penelitian.
Baru-baru ini seramai 15,700 pekerja terutama dalam sektor perindustrian diberhentikan kerja dan hampir 45,000 pekerja pula berhadapan risiko diberhentikan akibat tindakan majikan masing-masing mengurangkan kos operasi.
Usaha yang dilakukan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam bagi membantu golongan tersebut dengan mencadangkan diadakan temu duga khas atau skim khas untuk mereka jangan hanya cakap-cakap politik semata-mata.
Di samping itu, kerajaan juga perlu berlaku adil kepada pencari kerja dan penganggur yang sedia ada. Golongan ini juga perlu mendapat pembelaan dan keutamaan.
Jika kerajaan mahu permohonan kemasukan ke sektor awam untuk golongan tersebut dipermudahkan, maka langkah yang sama perlu juga diberikan kepada pemohon daripada lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Komitmen kerajaan dalam membantu pekerja sektor industri meneruskan kehidupan seperti biasa perlu betul dan tidak dipersoalkan kemudian hari.
Sektor awam bukan tempat longgokan mereka yang diberhentikan kerja oleh sektor swasta. Kerajaan tidak wajar memberi mesej yang salah kepada rakyat - semua masalah pemberhentian kerja mereka akan ditanggung oleh kerajaan.
Bahkan, dalam sektor awam juga terdapat kakitangan yang perlu dibela. Terdapat kira-kira 50,000 pekerja kontrak sektor awam di seluruh negara juga menghadapi kemungkinan ditamatkan perkhidmatan.
Jadi, kita berharap kerajaan perlu membuat pertimbangan yang adil. Biarlah sektor awam diisi oleh mereka yang benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat.
Bagi mengatasi masalah pengangguran, adalah lebih baik kerajaan memberi tumpuan terhadap program latihan semula pekerja. Latihan itu adalah langkah terbaik bagi meningkatkan kemahiran pekerja, selain peluang mempelajari bidang baru dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.