Komentar - Tahun ini tahun "Bukit"

Oleh ZAINI HASSAN

Tahun ini pastinya tahun bukit. Tahun tiga bukit - Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Bukit Lanjan. Banyak kebetulannya, bukan?

Yang pastinya, ketiga-tiga bukit itu mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Dua bukit lagi sudah terlalu banyak dikisahkan. Yang hangat sekarang ialah kisah Bukit Lanjan (yang ada budak-budak nakal sudah memasukkan awalan dan akhiran yang ‘lucah’ kepada nama Lanjan itu).

Laman-laman blog yang mencetuskan kisah ADUN Bukit Lanjan ini jam sesak. Susah nak mengaksesnya. Yang dapat membukanya menjerit keriangan kerana mahu melihat gambar terhebat tahun ini.

Walaupun kabur gambarnya, pelayar laman-laman blog itu menjegil mata hingga terbeliak mahu melihatnya. Yang pastinya mereka membayangkannya macam-macam semasa melihat gambar kabur itu.

Gelagat orang ramai itu adalah normal. Selagi manusia - yang dicipta dengan pancaindera dan cita rasa normal, pasti naluri ingin tahu itu tidak dapat lari.

Namun, sebaliknya, kasihan ADUN PKR Bukit Lanjan itu - wanita bujang 37 tahun, Elizabeth Wong. Gambar aksi panasnya itu - dengan kain batik terselak, yang tidak tahu dari mana datangnya, siapa yang menyimpan gambar itu selama ini - bocor ke tangan blogger dan pihak-pihak tertentu.

Blog yang selama ini amat disanjung oleh pakatan pembangkang - akhirnya memakan diri sendiri. Semalam, Eli atau Liz - nama timangan yang sering dipanggil oleh sahabat-sahabat Elizabeth - menyatakan hasrat meletakkan jawatan sebagai anggota Exco Kerajaan Selangor dan sebagai ADUN Bukit Lanjan.

Tindakannya itu cukup baik. Lebih baik daripada ketuanya sendiri - yang bermati-matian mempertahankan diri ‘di jalanan’ untuk menafikan perlakuannya selama ini.

Yang peliknya, ketuanya itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermati-matian tidak mahu Elizabeth meletakkan jawatan? Anwar hanya mahu ‘merehatkan’ Liz. Hairan sungguh?

Semasa kes skandal video seks Dr. Chua Soi Lek setahun dulu - mereka menjaja macam-macam cerita. Itu tidak bermoral, ini tidak bermoral sehinggakan parti BN keseluruhannya dikatakan tidak bermoral. Dr. Soi Lek pun mengambil langkah yang terhormat, meletakkan jawatannya.

Namun, apa sekali pun saya tetap angkat topi kepada tindakan Eli itu. Beliau berhasrat meninggalkan kedudukannya dengan baik. Itulah yang banyak dilakukan oleh kebanyakan ahli politik di negara maju jika dikaitkan dengan sebarang skandal - terutamanya skandal seks.

Tabloid The Sun di UK, banyak mendedahkan gambar-gambar sebegini. Sering kali pendedahan ini akan bertukar menjadi skandal. Seorang ahli Parlimen Britain meletakkan jawatan hanya kerana gambarnya disiarkan berjalan dengan pasangan ‘gaynya’.

Eli menunjukkan contoh teladan yang terbaik di dalam PKR yang dipimpin oleh Anwar.

Yang jelasnya, itulah akibatnya apabila calon-calon yang mewakili rakyat itu dipilih oleh pakatan pembangkang secara tangkap muat pada pilihan raya umum lalu.

Kerana terlalu yakin siapa pun yang ‘diletak’ itu akan menang - maka soal-soal moral tidak lagi diambil kira. Benar seperti kata Syed Hamid Albar kepada pemberita kelmarin. “Mereka (pakatan) sepatutnya menyaring dulu calon-calon”.

Dalam PRU 12 lalu - seperti yang pernah dijelaskan dalam Cuit yang terdahulu - kesemua calon tangkap muat pakatan pembangkang - termasuk tahanan ISA, tukang ambil gambar kes V.K. Lingam pun - boleh menang dan menjadi wakil kepada rakyat.

Bagi kepimpinan PKR jangan asyik berprasangka buruk kepada orang lain. Tanyalah Liz, siapa yang mengambil gambar itu, dan bagaimana dia boleh berada di dalam rumah pemimpin bujang itu? Apakah soal moral seperti ini boleh diterima oleh PKR?

Tidak betul Liz mengatakan pada sidang akhbarnya semalam “ia adalah soal privasi saya”.

Ini bukan soal privasi Liz, ini adalah soal moral dan nilai-nilai etika seorang wakil kepada rakyat. Liz bukan mewakili diri sendiri. Sebaik sahaja Liz dilantik sebagai wakil rakyat, Liz adalah hak rakyat. Jadi segala perilaku - dalam kain atau di luar kain, privasi atau tidak - adalah menjadi perhatian rakyat.

Kesimpulannya, semua pihak harus mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Jangan salahkan orang ini dan orang itu apabila timbul perkara seperti ini. Jangan kata orang itu dan orang ini ada agenda jahat. Mengakulah kesalahan, walaupun pahit sekali pun.

Pendek cerita, berhati-hatilah dengan kamera telefon anda - ia boleh membawa musibah.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url