Kehilangan besar buat Siti Nurhaliza


Ibu dan semua adik-beradik ada di sisinya tatkala abah (bapa) menghembuskan nafas terakhir. Kami sempat membacakan surah Yassin dan membisikkan kalimah syahadah.

"Banyaknya kenangan Siti bersamanya. Pada zaman kanak-kanak, selain ibu, abah akan sentiasa menemani ketika Siti memasuki pertandingan nyanyian. Abah selalu kata, Siti kena kuat."

Itu kata penyanyi terkenal, Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin tatkala membicara perihal bapa tersayang, Allahyarham Tarudin Ismail, 67, yang menghembuskan nafas terakhir, Ahad lalu.

Kini, semua itu dibawa bersama Allahyarham Tarudin, lelaki yang memainkan peranan yang bukan kecil dalam kehidupan Siti.

Pemergian Allahyarham yang juga bekas pesara polis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, Selangor akibat serangan jantung kelmarin disifatkan Siti sebagai satu kehilangan yang cukup besar dalam hidupnya.

Meninggalkan seorang balu, Siti Salmah Bachik, 57, dan tujuh orang anak termasuk Siti, Allahyarham turut menghidap komplikasi buah pinggang dan kencing manis.

Menurut Siti, meskipun bersedih dengan pemergian tersebut, namun beliau harus reda kerana menyedari Allah lebih menyayangi bapanya.

"Rasa macam sekejap sahaja masa berlalu. Kini, abah sudah tiada.

"Abah seorang yang suka bergurau. Sebelum menjalani pembedahan pun, dia sempat bergurau dengan Siti dan ahli keluarga yang lain.

"Abah sempat kata, kalau dah okey nanti, dia mahu pergi memancing dan jalan-jalan,'' jelas Siti yang tidak henti mengalirkan air mata sepanjang ditemu bual oleh wartawan.

Menurut biduanita muda itu, pemergian ayahnya sudah tentu memberi impak mendalam buatnya kerana Allahyarham merupakan pendokong utamanya dalam mengharungi kerjaya sebagai anak seni.

Bahkan, Allahyarham Tarudin tidak pernah lupa memberikan kata-kata semangat untuknya melalui liku-liku hidup sebagai insan seni.

"Semangatnya akan sentiasa berada dalam hati Siti,'' katanya dalam nada yang cukup sebak.

Menurut isteri kepada usahawan ternama, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa itu lagi, sebelum ini, baik Siti mahupun seluruh ahli keluarganya tidak pernah mendengar keluhan ayahnya yang mengalami sakit kuat atau tenat.

Bagaimanapun, pada pukul 2 pagi Jumaat lalu, Allahyarham mengadu sakit dada dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis, Pahang untuk menjalani rawatan.

Sebaik pulang daripada menerima rawatan, Allahyarham tiba-tiba rebah pada pukul 5 pagi ketika sedang berjalan menuju ke bilik air.

Sejurus itu, Allahyarham dibawa ke Hospital Pakar Puteri Ampang dan menjalani pembedahan pada pukul 7 malam yang sama.

Selesai pembedahan, beliau tidak sedarkan diri dan ditempatkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bermula dari detik itu sehinggalah tepat pukul 11.50 pagi Ahad lalu, Allahyarham tidak sedarkan diri dan seterusnya pergi menyambut panggilan Ilahi.

Sebelum dikebumikan di kampung halaman keluarganya di Kuala Lipis, Pahang, jenazah Allahyarham terlebih dahulu dibawa ke kediaman Siti dan Khalid di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur untuk dimandi, dikafan dan seterusnya disembahyangkan.

Kehilangan kedua Khalid

Sementara itu, Khalid yang ditemui di kediamannya pula berkata, pemergian bapa mertuanya amat dirasai kerana beliau sendiri baru sahaja kehilangan bapa kandungnya pada November lalu.

"Dalam tempoh tiga bulan ini, saya sudah kehilangan dua orang bapa, bapa kandung dan bapa mertua.

"Sememangnya saya sedih tetapi reda dengan apa yang berlaku,'' jelasnya tenang.

Menurut Khalid, dua minggu lalu, dia dan Siti pulang ke Kuala Lipis untuk menziarahi mertuanya itu.

"Entah mengapa, dia (arwah) suka sangat melihat kami pulang. Dia sempat membelikan tiga ekor ikan yang dikatanya ikan paling baik dari Sungai Lipis untuk juadah makan malam yang cukup istimewa.

"Arwah ada cerita kepada saya tentang gembiranya hati dia dapat meluangkan masa bersama anak-anak terutama Ayie (Saiful Bahari), teman memancingnya,'' katanya.

Menurut Khalid lagi, dua hari sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri, arwah dan Ayie sempat memancing bersama di Klang, Selangor.

"Malah, arwah sempat menghadiahkan Ayie alat pancing sewaktu hari jadinya baru-baru ini. Kata arwah, ketika memancing di Klang, umpannya cukup mengena dan banyak dapat ikan,'' kata Khalid.

Ditanya mengenai keperibadian arwah, Khalid menjelaskan bahawa bapa mertuanya itu seorang yang kelakar tetapi tegas dan amat sensitif.

"Sebetulnya, seluruh ahli keluarga amat sukar untuk percaya yang beliau sudah tiada. Dia pergi begitu cepat. Siti apatah lagi, dia cukup terkilan.

"Terkilan sebab pertamanya tentang soal cucu dan rancangan Siti bersama Ayie untuk membawa arwah mengerjakan haji pada tahun ini juga tidak tercapai'' jelasnya.

Semasa hayatnya juga, arwah bapa mertua beliau juga ada memintanya membantu membuka sebuah syarikat yang dinamakan Saldin.

"Mengikut perancangan, syarikat itu akan diuruskan oleh arwah sendiri bersama ibu mertua saya. Ia sebuah syarikat berteraskan pertanian. Urusan pendaftaran sudah saya selesaikan.

"Insya-Allah, saya akan terus menjalankan cita-cita arwah yang mahu mengusahakan perniagaan pertanian menerusi syarikat ini walaupuan arwah sudah tiada,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url