Pembukaan sidang Parlimen penuh istiadat

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 dengan penuh istiadat.

Sejurus tiba di pekarangan bangunan Parlimen, Seri Paduka serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Turut menyambut Seri Paduka berdua ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh.

Tuanku Mizan kemudian menerima sembah 'Hormat Diraja' dan lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi.

Seri Paduka kemudian turun dari peterana diraja untuk memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi diketuai oleh Mejar Norhisham Kamar.

Ketika upacara pemeriksaan kawalan kehormat, tembakan meriam 21 das dilepaskan.

Setelah selesai memeriksa perbarisan kehormat, Seri Paduka kembali ke peterana diraja dan menerima sembah 'Hormat Diraja' kali kedua sebelum lagu Negaraku dimainkan sekali lagi.

Seri Paduka berdua kemudian diiringi oleh Abdullah dan isteri memasuki bangunan Parlimen.

Tepat pukul 10.40 pagi, loceng istiadat Parlimen dibunyikan dan Seri Paduka berdua kemudian memasuki galeri Dewan Rakyat dengan diiringi Pandikar Amin.

Perdana Menteri kemudian menyembahkan titah ucapan diraja kepada Seri Paduka bagi merasmikan Penggal Kedua Parlimen Ke-12.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat bermula hari ini dan berakhir 19 Mac manakala Dewan Negara dari 30 Mac hingga 8 April.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url