Pokok 'celaka' mujarab menjarakkan kelahiran?

Pokok 'celaka' - sejenis tumbuhan yang tumbuh meliar di hutan negeri ini khususnya di daerah Kemaman dipercayai boleh dijadikan ubat menjarakkan kelahiran anak.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, berdasarkan maklum balas dan pengalaman orang tua-tua setempat, pokok 'celaka' (tiada nama saintifik) didakwa mampu menjadi ubat paling mujarab bagi wanita yang ingin menjarakkan kelahiran.

Katanya, walaupun nama pokok itu sebagai 'celaka', namun menurut orang tua-tua, ia dikatakan amat mujarab dan diakui ramai wanita yang ingin menjarakkan kelahiran.

Sehubungan itu, beliau meminta para penyelidik dan saintis khususnya dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini menjalankan penyelidikan secara saintifik bagi menentukan kesahihan kenyataan tersebut.

''Kerajaan negeri sendiri bersedia membiayai kos penyelidikan kerana pokok 'celaka' jika terbukti mujarab, bakal mengubah wajah negeri ini sebagai sebuah pusat pengeluar ubatan tradisional utama.

''Menurut orang tua-tua, nama pokok itu 'celaka', tetapi saintis tempatan dikatakan belum dapat memberikan nama sebenar kerana ia mungkin terlepas kajian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Primula Beach Resort di sini hari ini.

UDM diwakili Naib Cancelornya, Profesor Datuk Dr. Alias Daud, manakala ECERDC pula oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Jebasingam Issace John.

Difahamkan, menurut orang tua- tua, pokok itu dinamakan 'celaka' kerana penduduk setempat beranggapan ia mempunyai 'kehebatan' menjarakkan kelahiran.

Terdahulu itu, dalam ucapan beliau, Ahmad berkata, Terengganu juga akan memperkenalkan gadung, sejenis pokok yang tumbuh meliar dalam hutan di negeri itu sebagai salah satu bahan makanan utama negeri.

Katanya, walaupun sudah menjadi makanan bagi segelintir penduduk, namun ia belum dijadikan bahan makanan secara meluas kerana mempunyai getah.

''Jika getahnya diasingkan dengan penggunaan teknologi sekarang, saya yakin pokok gadung sesuai dijadikan makanan pilihan selain ubi keledek yang menjadi makanan popular masyarakat sekarang," katanya.

Sementara itu, MoU itu akan mengukuhkan lagi komitmen ECERDC bagi melaksanakan semua projek yang dikenalpasti di bawah ketiga-tiga Pusat Kecemerlangan UDM.

Pusat-pusat itu ialah Pusat Serantau untuk Produk Halal, Pusat Teknologi Bio dan Produk Herba dan Pusat Kerjasama Akademik Industri (CIAC).

MoU itu juga akan membantu ECER dalam mengenalpasti kelebihan bersaing dalam industri makanan halal melalui pembangunan pusat serantau untuk produk halal dan pusat untuk produk teknologi bio dan herba.

Di bawah pelan induk ECER, UDM merupakan pusat kecemerlangan untuk pembangunan produk halal di rantau ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • nurul izzah
    nurul izzah Rabu, 18 Februari 2009 pada 2:24:00 PG SGT

    1st time dgr pokok 'celaka'..
    cam kasar jer namanya..pas ni kalu nak dikormesialkan hope tukar nama yg lbh nice didgr..

Add Comment
comment url