Rafidah & Shahrizat bertentang mata
Benar kata Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz bahawa dalam politik tidak ada hubungan peribadi. Yang ada cuma hubungan politik.
Hari ini, Rafidah dan timbalannya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang baru sahaja membuat pengesahan akan mencabar kedudukan Ketua Wanita, bersua muka.
Semalam kedua-dua pemimpin itu gagal bertemu pada mesyuarat Exco Wanita sehingga menimbulkan tanda tanya mengenai hubungan mereka. Shahrizat memberi alasan menghadiri mesyuarat pasca Kabinet di Putrajaya.
Pada majlis ramah mesra dengan calon-calon Exco dan perwakilan Wanita tengah hari ini di Bangunan Tunku di sini, mereka meluangkan masa hampir sejam.
Lebih menarik, pada perjumpaan itu mereka bersetuju bahawa perpaduan dalam parti perlu diperkukuhkan walaupun salah seorang pemimpin itu akan tewas pada pemilihan tersebut.
Bagi Rafidah, perpaduan bukan hanya dilafazkan di mulut sahaja namun ia perlu dirasai di dalam hati setiap ahli UMNO.
“Perpaduan penting dalam parti dan siapa yang akan menjadi Ketua Wanita selepas ini akan ditentukan oleh para perwakilan.
“Saya sikit pun tidak kisah jika kemenangan tak berpihak pada saya kerana individu tidak mustahak dalam parti dan kita dalam politik bukan sebab nak rebut jawatan,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra itu.
Rafidah menjelaskan, politik telah menjadi darah dagingnya dan nasibnya kini terletak di tangan perwakilan.
“Saya tidak cabar orang dan hanya mempertahankan jawatan dan kalau saya menang, kerja makin banyak.
“Jika ditakdirkan saya tidak menang pun, ia tidak menjadi kudis kerana bukan saya yang menentukannya,” katanya.
Shahrizat pula berkata, pada masa ini beliau tidak memikirkan soal kalah atau menang kerana bakal ketua pergerakan itu nanti perlu merapatkan perpaduan di kalangan ahli.
Katanya, Wanita UMNO mempunyai kematangan untuk menentukan kempen berjalan penuh hemah dan tertib.
“Saya yakin tidak ada perpecahan selepas ini kerana ini lumrah politik dan kita semua adalah satu keluarga.
“Kita semua adalah ibu dan tahu apa yang hendak dibuat dan bila keputusan dah dibuat, tali silaturahim antara kita dapat dieratkan lagi,” jelasnya.
- UTUSAN