Salah guna al-Quran pelaris jualan - JAKIM

Ayat-ayat suci al-Quran tidak boleh diguna pakai untuk tujuan sebagai pelaris perniagaan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha.

Menurutnya, garis panduan telah diberi oleh Islam dan cukup jelas bahawa penggunaan benda lain khususnya azimat tidak dibenarkan bagi melariskan jualan di restoran atau kedai makan.

Othman berkata, umat Islam seharusnya menjadikan ayat-ayat al-Quran sebagai amalan dalam kehidupan dengan membaca dan memahami maksudnya.

‘‘Ayat al-Quran digunakan dengan tujuan kita hendak baca hari-hari atau amalkannya (dalam kehidupan).

‘‘Tetapi jika seseorang itu meletakkan ayat-ayat suci seperti ayat 1,000 dinar dan tidak tahu pula maknanya serta dia menyatakan ayat itu boleh menyebabkan kedainya laris, itu salah sama sekali,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Othman berkata, Islam sangat menitikberatkan soal-soal akidah dan syariah dengan segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan pada sumber-sumber asal seperti al-Quran, hadis, ijmak dan qias adalah ditolak oleh Islam.

Jelasnya, amalan memuja jin dan memohon pertolongan daripada makhluk tersebut seperti yang selalu dilakukan oleh seorang bomoh atau dukun, adalah syirik dan menyesatkan.

‘‘Orang yang bersahabat dan menggunakan jin seperti tukang sihir dan tukang tilik adalah tergolong di dalam golongan orang yang bodoh dan menzalimi diri sendiri,’’ ujarnya.

Beliau berkata, masyarakat Islam seharusnya sudah faham mengenai hal itu dan mereka sepatutnya tidak meminta pertolongan kepada orang lain kerana sumber rezeki semuanya datang daripada Allah.

Tambahnya, bagi mengelakkan kekeliruan berlaku, umat Islam dinasihatkan agar merujuk kepada ulama untuk mendapatkan pandangan.

“Pelaris yang paling mujarab adalah diri sendiri iaitu dengan cara menyediakan masakan yang enak dan melayan tetamu dengan senyuman seperti yang disuruh oleh Rasullah. Maka restoran atau kedai makan itu pasti akan dikunjungi pelanggan.

‘‘Masakan kita sendiri adalah pelaris, kalau orang datang sekali rasa sudah sedap, saya yakin mereka pasti datang lagi. Tetapi kalau makanan yang disaji pun tak sedap, sudah pasti pelanggan tidak akan datang lagi.

‘‘Kalau kita menggunakan perkara-perkara sebegini (pelaris) ia sudah jadi salah kerana kita tidak bergantung kepada Allah dan jika kita jampi serapah pada makanan, itu lagi salah,’’ tegasnya.

Pelaris bawa untung lumayan?

Meminta pertolongan daripada makhluk halus seperti jin menerusi penggunaan ilmu sihir ataupun azimat bagi tujuan melariskan perniagaan merupakan perbuatan yang bertentangan dengan syariah Islam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri ada mengeluarkan garis panduan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai bahaya kepercayaan terhadap khurafat dan azimat yang boleh menggugat akidah seseorang.

Garis panduan itu disediakan berikutan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 6 Oktober 1987 supaya diperincikan penjelasan mengenai khurafat dan azimat.

Umat Islam dianjurkan memohon sebarang bentuk pertolongan hanya kepada Allah dan bukannya melalui amalan memuja jin ataupun meminta bantuan daripada bomoh atau dukun.

Sebagai renungan, petikan maksud ayat Surah Attholaq 65:3 wajar dijadikan panduan oleh umat Islam iaitu yang bermaksud:

‘‘Barang siapa yang bertakwa, nescaya Allah memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendakinya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu’’.

Penggunaan ‘pelaris’ dikatakan antara faktor yang memainkan peranan bagi membantu seseorang pengusaha menarik lebih ramai pengunjung ke restoran atau kedai makan mereka.

Menurut orang ramai, walaupun ‘pelaris’ tidak patut digunakan, penggunaannya bukanlah sesuatu yang mustahil kerana terdapat kedai makan yang dikunjungi ramai sedangkan makanannya tidak begitu enak atau mempunyai tarikan lain.

Seorang kakitangan kerajaan, Muhammad Norhisyam Nordin, 29, berpendapat, penggunaan ‘pelaris’ memang tidak sepatutnya diamalkan kerana ia bertentangan dengan konsep perniagaan yang memerlukan keadilan dan kejujuran.

Menurutnya, menggunakan ‘pelaris’ sememangnya terbukti mendatangkan keuntungan yang cepat dan lumayan walaupun makanan disajikan itu tidak enak.

‘‘Daripada pemerhatian dan komen rakan-rakan, mungkin pengusaha Melayu lebih ramai menggunakannya tetapi bangsa lain seperti Cina dan India pun ada mengamalkannya,’’ katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jelasnya, jika yakin terhadap menu dan perkhidmatan yang ditawarkan, pengusaha restoran tidak perlu berbuat demikian kerana ia boleh menjebakkan mereka kepada perbuatan yang bertentangan dengan agama.

Sementara itu, seorang juruaudit, Nurraudhah Md. Jom, 27, berkata, tindakan menggunakan ‘pelaris’ adalah satu kesalahan besar tidak kira untuk apa juga alasan atau tujuannya.

Katanya, cara itu tidak patut digunakan peniaga kerana ia bertentangan dengan agama Islam dan menganiaya peniaga lain yang cuba mencari rezeki halal.

‘‘Seharusnya setiap peniaga berusaha sendiri untuk meningkatkan keenakan masakan selain kualiti layanan dan kebersihan premis mereka kerana saya percaya jika ia diutamakan, pengunjung pasti datang,’’ ujarnya.

Rakannya yang juga seorang juruaudit, Zetty Hayat Abd. Razak, 25, berkata, dia ada mendengar mengenai kewujudan pelaris walaupun tidak pernah melihatnya sendiri.

‘‘Saya cuma mendengar melalui rakan-rakan yang bercerita mengenai hal ini apabila mereka sering melihat gerai yang makanannya kurang enak tetapi dikunjungi ramai pelanggan,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, seorang kakitangan swasta, Terry Gallyot, 39, memberitahu, dia tidak pasti mengenai penggunaan ‘pelaris’ oleh pengusaha kedai makan walaupun pernah mendengar mengenainya.

‘‘Sukar untuk buktikan sama ada peniaga terbabit menggunakan ‘pelaris’ kerana selagi tidak mempunyai bukti yang kukuh kita tidak boleh menuduh.

‘‘Pelanggan yang datang mungkin sudah biasa berkunjung ke restoran berkenaan kerana sudah tahu menu yang ditawarkan,’’ jelasnya.

Ketika ditanya sama ada ‘pelaris’ turut diguna pakai dalam masyarakat Cina dan India selain Melayu, Terry berkata, jika ia memberi keuntungan yang berlipat ganda, tidak mustahil amalan tersebut turut digunakan oleh bangsa lain.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url