Keistimewaan Alicafe
Sebungkus serbuk minuman pracampuran jenama Power Root seakan menjadi satu kemestian sesetengah daripada kita untuk dimiliki tidak kira di pejabat atau di rumah.
Mudah, menyenangkan dan enak, itu antara alasan mengapa ia menjadi kegemaran. Tatkala menonton televisyen atau sambil menyiapkan tugasan di rumah, secawan Alicafe, Alitea, Perl Cafe atau Perl Coco menjadi peneman. Begitu juga bagi yang sedang memandu, minuman Power Root dalam tin menjadi pilihan kerana ia dikatakan mampu menambah tenaga terutama untuk perjalanan jauh.
Menjanjikan kelainan daripada apa yang dihidangkan selama ini, Power Root membawakan sebuah sudut khas untuk peminatnya yang dinamakan Alicafe.
Dengan menyajikan beberapa minuman kopi, teh dan koko berherba yang menjadi signatur jenama ini, ia diberi sedikit tambahan untuk lebih kepuasan.
"Kami menghidangkan minuman yang sama, namun dalam campuran yang berbeza di mana ia hanya boleh didapati di restoran Alicafe.
"Pembukaan restoran ini juga sebagai usaha Power Root untuk mendekati pelanggan yang selama ini menyokong kami," kata Pengurus Besar Bahagian Francais, Clement Valentine Toh Shu Yen.
Sambil menafikan ia berkonsepkan kopitiam, Alicafe katanya menghidangkan pelbagai jenis makanan dan minuman yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
Terletak di Kelana Mall, Kelana Jaya, Selangor, menurut Clement, sebuah cawangan lagi bakal menyusul di Subang Jaya dalam masa terdekat ini.
Selain minuman, terdapat pelbagai variasi makanan yang pastinya memuaskan hati pengunjung, apatah lagi dengan dekorasi restoran yang cukup selesa dan nyaman.
Mi goreng mamak, nasi lemak ayam goreng, nasi lemak ayam berempah dan mi kari antara hidangan popular di sini. Begitu juga dengan masakan Barat yang turut diberi sentuhan tempatan seperti pasta berempah, cukup menyelerakan.
Tidak ketinggalan beberapa pencuci mulut istimewa seperti mua chee (kuih Cina) berintikan serbuk kacang dan kuih nyonya juga boleh didapati di sini.
Menu 'wajib' bagi kopitiam iaitu roti bakar dan telur separuh masak turut disediakan. Istimewanya, roti bakar di sini menggunakan kaya berperisa labu yang pastinya memberi kelainan kepada mereka yang mencubanya.
Dengan ruang persekitaran yang luas dan selesa, ia mampu menampung hingga 150 pengunjung dalam satu-satu masa dan amat sesuai diadakan majlis kecil di sini. Juga disediakan perkhidmatan wi-fi untuk kemudahan pelanggan dan layar televisyen bersaiz besar yang pastinya membuatkan si 'kaki bola' terpaku sambil menonton perlawanan kegemaran mereka.
- UTUSAN