Suara Blog
Beberapa penulis menyeru kepada semua pihak agar menghayati dan berpegang kepada Rukun Negara kerana tindakan mencabar sultan dianggap bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.
Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dalam blognya menulis, semua pihak perlu memahami Rukun Negara dengan teliti bahawa di bawah prinsip itu meletakkan kesetiaan kepada raja mendahului setia kepada negara.
Katanya ikrar itu sering dibaca dan dilaungkan pada setiap kali sambutan perayaan Hari Kemerdekaan.
“Saya juga mencadangkan agar semua sekolah, IPTA, IPTS, jabatan kerajaan, sektor swasta, NGO dan yang lain-lain mengadakan semula dengan segera ikrar Rukun Negara dan dibantu oleh semua media massa bagi menanamkan semula semangat kenegaraan bangsa,” tulisnya dalam blog www.mohdalirustam.com.
Akhramsyah Sanusi dalam blognya thoughtsintangents.blogspot.com turut menyeru pihak-pihak yang mahu mempertikaikan kewibawaan Raja-raja Melayu agar menghayati Rukun Negara.
Dengan membidas penulis blog Jed Yoong yang dikatakan cuba menjadi jaguh dalam menghina Raja-Raja Melayu, penulis ini berkata: “Alangkah bahagianya sekiranya mereka ini memahami erti kata kerakyatan Malaysia, yakni merangkumi penghayatan Ruku Negara.
“Hanya kerana hilang sedikit kuasa sudah sedia lupa apa seharusnya menjadi sebahagian jati diri kita rakyat Malaysia...,” tulis beliau. Isu tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu mendakwa Sultan Perak di mahkamah turut ditulis oleh Datuk Husam Musa dalam blognya www.husammusa.com.
Dalam blog itu, penulis berkata, beliau tidak bersetuju mana-mana parti politik di Perak menyaman Sultan Azlan Shah berhubung pelantikan Menteri Besar, sebaliknya kerajaan baru pimpinan Datuk Zambry Abdul Kadir diminta mengesahkan pelantikan itu di mahkamah bagi menentukan kesahihannya.
“Secara peribadi saya berpendapat adalah tidak wajar mengheret (Sultan) ke mahkamah, malah Pas menggesa meminta kerajaan BN, mengesahkan pelantikan Menteri Besar itu di Mahkamah,” katanya seperti yang dipetik dari blognya itu.
Katanya, adalah tidak wajar Sultan turut dikaitkan sama dalam kancah politik yang melanda negeri Perak sekarang.
Seorang penulis blog yang dikenali sebagai Dr. Siddiq turut mengupas mengenai tindakan Karpal tersebut dengan berkata: “Tapi penderhaka boleh lagi selesa. Kerana ini Malaysia. Negara yang memperjuangkan hak asasi manusia. Jangan main dengan Sultan, sebab sultan ramai pengikut. Pengikut Sultan paling besar ialah UMNO. Kerana itulah DAP dan PKR benci UMNO.”
Katanya: “Terus terang saya katakan, Karpal bukannya menderhaka. Cuma kurang ajar sikit. Bukan kali pertama, tapi sikit-sikit lama-lama jadi bukit. “Kepada yang membuat laporan polis terhadap saya, nantikan serangan balas daripada saya.” – Karpal Singh. Jangan risau, Karpal tidak boleh berbuat apa-apa. Inikan Malaysia?
“Dan kepada yang membuat laporan polis juga tidak boleh berbuat apa-apa terhadap Karpal. Kerana bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk menyaman Sultan. “Dont push me too far.” Benar, “and don‘t push the AG to far too.” Kerana Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai sebab untuk mendakwa Karpal. Atas tuduhan apa? “Waging war against the Rulers?" Belum cukup mantap untuk mengukuhkan dakwaan itu. AG pun nak jaga reputasi, tak mahu dilabel sebagai dungu undang-undang,” tulisnya dalam writtenbyhim. wordpress.com.
Sementara itu, tulisan terbaru Datuk Ruhanie Ahmad di dalam blognya kudakepang.blogspot.com di bawah artikel bertajuk “bloggers dan realiti politik Malaysia” cukup menarik. Dalam tulisan itu beliau berkata, pandangan orang-orang politik khususnya di pihak kerajaan terhadap penulis-penulis blog seperti beliau sudah berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu.
Katanya, kalau sebelum ini penulis blog dianggap penghasut dan pemfitnah tetapi kini ada kalangan pemimpin kerajaan yang sudah mula menulis blog sendiri.
“Tetapi, kredibiliti blog mereka sukar untuk dipastikan. Yang pokoknya, blog milik Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima ratusan ribu pengunjung seminggu, sementara blog-blog pembesar BN ketinggalan dan tercorot di belakang,” tulisnya.
Kesimpulannya, kata penulis ini, blog dan penulis blog politik memang berperanan dalam memantau sentimen rakyat serta pengundi Malaysia dan maklum balas yang diluahkan oleh rakyat jelata menerusi blog politik tidak sewajarnya dibakul-sampahkan.