Temuramah dengan Hishamuddin - Pertahankan Institusi Beraja
HISHAMMUDDIN: Kita berhimpun bersama untuk mengetahui dan membendung perasaan generasi muda pelbagai kaum, agama dan keturunan mengenai institusi raja. Alhamdulillah, mereka cukup bersemangat dan tahu sejarah. Adalah sangat pentingnya untuk kita kembali melihat Kesultanan Melayu sebagai fitrah bumi Malaysia. Kita tidak wajar menolak sesuatu yang sudah menjadi resam dan fitrah kepada diri kita sebagai individu. Adalah tidak wajar jika hanya rasa kecewa dalam kerakusan kuasa dan kejahilan sejarah, kita tergamak menolak kepentingan institusi Raja dan melibatkan Sultan dalam kancah politik.
Selama ini pun dalam rentetan sejarah dan perjuangan kemerdekaan Negara, institusi Raja telah memainkan peranan yang besar. Raja dan sultan hadir sebagai "suara hikmah" - payung rakyat, pelindung bukan sahaja kepada rakyat berketurunan Melayu tapi kepada semua rakyat Malaysia.
Saya suka untuk mengingatkan kita bersama bahawa sejarah sudah membuktikan bahawa khianat Si Kitul membawa bencana. Sejarah juga telah menunjukkan musuh boleh mewujudkan keadaan yang penuh fitnah, prasangka dan perangkap maut untuk menderhaka kepada raja tetapi sejarah juga telah menunjukkan bahawa setiap kali ia berlaku, Hang Tuah dengan sifat takwanya akan tampil ke hadapan mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada sultannya.
Justeru, Barisan Pemuda Malaysia berhimpun untuk menyatakan taat setia ke bawah duli-duli tuanku serta menolak sama sekali tabiat hodoh dan jahil sejarah yang ditonjolkan oleh pihak-pihak yang tergamak mempersendakan institusi raja di Negara ini. Kita berhimpun atas niat kebersamaan sebagai anak bangsa Malaysia bahawa keabsahan Raja dan Kesultanan Melayu mesti di pelihara; mesti dihormati dan di pertahankan.
Apakah perlu perhimpunan, tidakkah ada cara lain yang lebih sesuai bagi menunjukkan kesetiaan?
HISHAMMUDDIN: Kita sentiasa menganjurkan pendekatan secara bermesyuarah, berbincang dan mendengar segala bentuk rintihan, tanpa mengira fahaman politik, kaum atau agama. Namun, apa yang kita buat kelmarin adalah perhimpunan secara dalaman tanpa mengganggu keselamatan mahupun keselesaan orang awam. Ia sangat berbeza dengan budaya demonstrasi jalanan yang digunakan oleh sebahagian dari kita yang terlalu taksub dengan kumpulan mereka yang kononnya dilakukan atas nama hak dan kebebasan.
Di Perhimpunan itu, kita dapat luahkan perasaan anak muda dengan suasana yang terkawal dan pelbagai maklumat dapat dikongsi. Ia juga bagi kita mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan ketidakfahaman segelintir rakyat yang mengakibatkan institusi yang telah bertapak dan membawa kemakmuran sejak sekian lama menjadi seolah-olah tidak dihormati sehingga sanggup ingin mengheret Raja ke mahkamah.
Saya percaya, bahawa setiap dari kita warganegara mempunyai kebebasan namun jika ia sampai ke peringkat yang mencabar jati diri kita sebagai rakyat di dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi institusi raja.
Dalam keadaan dunia hari ini apakah Raja perlu dilihat dengan peranan yang sama, tidakkah kedudukan Raja akan turut berubah mengikut peredaran zaman?
HISHAMMUDDIN: Raja-raja adalah perlambangan bahawa Malaysia sebagai sebuah Negara Raja Berperlembagaan. Satu suasana penuh istiadat dan kemegahan kita sebagai rakyat. Kita perlu insaf dan sedar bahawa kita bernaung di bawah Yang di-Pertuan Agong yang jelas diperuntukkan perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Melaluinya kita berkerajaan dan selama ini kita semua pelbagai kaum mendapat manfaat yang besar dari segi kemakmuran ekonomi, politik dan sosial di Malaysia ini. Justeru, kita harus memahami dan menyedari akan hakikat tersebut dengan menggandakan kerjasama di antara kita dan bukannya biadab semahunya. Proses demokrasi dan Raja Berperlembagaan ini wajar difahami dan dipertahankan kerana sejarah telah membuktikan betapa signifikan peranan raja dalam proses perpaduan dan kemakmuran Negara.
Perkembangan mutakhir menyaksikan ada di kalangan orang Melayu sendiri yang mempertikaikan kedudukan Raja dan Sultan. Mengapa ini boleh berlaku?
HISHAMMUDDIN: Sultan adalah payung kepada umat dan agama Islam di setiap negeri di negara kita. Adat istiadat hal ehwal agama Islam terletak langsung di bawah tanggungjawab baginda. Maka atas kedudukan itulah raja perlu dilihat sebagai salah satu entiti dalam konteks pemerintah yang wajib ditaati dan bukannya diderhakai ataupun dihina sama ada yang dibuat secara langsung mahupun tidak langsung. Kita lihat golongan yang menentang ini sebagai golongan yang sengaja tidak mahu berfikir dan mengakui hakikat dan hukum. Tetapi ada golongan yang lebih tidak bertanggungjawab mempertikaikan kedudukan Raja dan Sultan hanya kerana ingin mencapai impian mereka sehingga sanggup melanggar batasan bernegara.
Pakatan pembangkang kelihatan berbeza pendirian dalam isu ini. Jelas ada pihak dalam pakatan mereka yang lebih dominan dan ada orang Melayu Islam dalam kumpulan mereka yang menjadi pengikut.
HISHAMMUDDIN: Inilah yang wajib direnung oleh kita semua. Ketika Karpal Singh yang secara lantang mengumumkan akan memfailkan saman terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah, tetapi anehnya, tiada seorang pun daripada mereka dalam pakatan pembangkang terutamanya Pas dan Keadilan yang cuba untuk mempertahankan Sultan ataupun institusi ini.
Sedangkan kita tahu pemimpin Pas ini terdiri daripada orang Melayu yang juga turut mahu berbaik-baik dengan institusi raja. Cuma dalam hal ini mereka nampaknya sanggup menggadai prinsip mereka demi mencapai cita-cita yang sama.
Mereka yang lain dalam gabungan pembangkang juga tidak menghalangnya. Mana pejuang-pejuang Melayu di dalam Pas dan Keadilan? Kenapa mereka tidak menegur dan menasihat Karpal? Kenapa mereka sanggup membisu? Apakah mereka tiba-tiba merasakan kerdil bila berhadapan dengan Karpal, ataupun mereka turut bersetuju?
- UTUSAN