Temuramah dengan Pengarah ISIS - Ekonomi bakal lebih sukar


Ekonomi negara bakal lebih sukar. Apa yang berlaku tidak lebih sekadar satu permulaan.

Orang ramai perlu bersedia menghadapinya dan bergerak membantu memulihkan ekonomi pakej rangsangan lebih mantap.

Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Profesor Dr. Mahani Zainal Abidin berkata: ‘‘Bagi saya, negara sedang berdepan dengan gelombang peringkat awal.’’

‘‘Kerajaan terpaksa melakukan dua kerja serentak iaitu menangani krisis dan bersedia berdepan dengan perubahan ekonomi sejagat,’’ kata Mahani kepada Utusan Malaysia dalam satu wawancara di sini.

Bagaimanapun, kata Mahani, apa yang penting dilakukan kerajaan sekarang adalah memastikan sebarang pelaksanaan pakej rangsangan dilakukan dengan cepat.

‘‘Sebab itu mustahaknya memilih projek, mungkin ada projek berimpak cepat seperti memperbaiki sekolah tetapi pembinaan bangunan akan mengambil masa,’’ jelasnya,.

Mahani juga mengingatkan bahawa negara juga perlu bersedia dengan perubahan luar jangka selepas kemelut semasa yang bakal mengubah model ekonomi dunia sedia ada. Berikut adalah petikan wawancara penuh dengan beliau di pejabatnya Jumaat lalu.

Bagaimanakah senario semasa ekonomi negara?

MAHANI: Kita sebenarnya baru memasuki fasa ekonomi yang lebih sukar. Kalau dilihat pada Oktober lalu, beberapa petanda negatif telah muncul. Indeks pengeluaran industri dan eksport, kedua-dua telah menurun. Ini adalah petanda awal dan asas bahawa Malaysia adalah tidak terlepas daripada kemelut ekonomi global. Kini, rungutan mula kedengaran tentang pengurangan waktu kerja, pemotongan gaji dan pemberhentian kerja. Bagi saya, kita sedang berdepan dengan gelombang (kemelut ekonomi) peringkat awal.

Bilakah pula gelombang yang lebih teruk?

Banyak penganalisis mengandai keadaan lebih teruk berlaku pada pertengahan tahun ini, kita dijangka merasai keadaan lebih sukar. Berbanding dengan negara-negara Asia Timur yang memiliki struktur ekonomi yang agak sama, mereka telah mengalami kemerosotan eksport dan penguncupan ekonomi lebih awal dari Malaysia. Kita mungkin lambat sedikit dan kesannya tidak seteruk Korea dan Singapura kerana ekonomi yang ada lebih seimbang. Kita mempunyai sektor pertanian, perkhidmatan dan pasaran ekonomi dalaman yang agak besar.

Sejauh mana ekonomi semasa mampu menampan gelombang seterusnya?

Saya rasa kekuatan ekonomi semasa hanya cukup untuk kita berada dalam peringkat pertama. Kita akan melihat gelombang seterusnya apabila jumlah pengeluaran industri dan eksport terus menurun manakala pengangguran bertambah.

Apakah kesannya terhadap negara?

Saya berpendapat kedudukan Malaysia tidaklah seteruk Singapura kerana mereka adalah ekonomi yang kecil dan tahap keterbukaan mereka lebih luas.

Di sebalik pelaksanaan pakej rangsangan, ramai yang masih melahirkan kebimbangan terhadap keupayaan ekonomi negara?

Saya tidak menafikan perkara ini kerana ramai orang tidak nampak kesannya. Walaupun dana telah diagihkan kepada pihak berkenaan (kementerian) tetapi mungkin masa terpaksa diambil untuk melaksanakannya kerana kesannya bergantung kepada kapasiti pelaksanaan. Jadi, setakat ini mungkin pelaksanaan itu ada tetapi tidak nampak. Yang penting sekarang, kerajaan perlu pastikan pelaksanaan itu cepat, adalah mustahaknya memilih projek yang ada impak cepat. Mungkin ada projek sedemikian seperti memperbaiki sekolah, tetapi pembinaan bangunan mengambil masa.

Jadi apa pendekatan terbaik?

Kita perlu jadikan Singapura sebagai contoh. Kita dan Singapura mempunyai pendekatan berbeza.

Bagaimanakah perbezaannya?

Kerajaan Singapura mengambil pendekatan berterus terang tentang segala-galanya dan memberi tumpuan kesan buruk yang berlaku ke atas rakyatnya. Tujuannya adalah menyediakan rakyat dalam keadaan itu. Sebaliknya, Malaysia pula bergantung kepada keyakinan rakyat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Jika rakyat yakin dengan ekonomi, baru mereka akan berbelanja. Jadi, pada pandangan saya, kerajaan tidak mahu menakutkan rakyat kerana tindakan itu akan mengakibatkan rakyat tidak berbelanja, sekali gus boleh menyebabkan kemelut ekonomi lebih buruk. Tetapi, rakyat masih perlukan maklumat yang jelas (status ekonomi), jika tidak akan timbul perasaan was-was, sekali gus menyebabkan spekulasi dan keadaan menjadi lebih buruk.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url