50 tahun Sultan Kedah bertakhta

Kedah memang sebuah nama gah yang sejak berkurun lampau menjadi sebutan para pedagang dari pelbagai benua. Masyarakat benua India mengenalinya sebagai Kalagam, Kadaram, Kataha, Kadanagara dan pelbagai nama lain.

Rekod orang China antara lain menyebut Kedah sebagai Chieh-cha. Dalam tempoh beratus-ratus tahun sebagai negeri, Kedah menjadi satu entiti istimewa di Alam Melayu. Sekiranya kita membaca tulisan J.M. Gullick mengenai syarat-syarat asas kerajaan, Kedah sudah mendahului zaman sebagai sebuah negeri Melayu terulung.

Sejak Islam diterima sebagai agama rasmi negeri, Kedah sudah diperintah oleh 28 orang sultan bermula dengan Sultan Al-Muzaffar Shah I. Kini yang memerintah Kedah ialah Sultan Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah. Baginda naik takhta pada tahun 1958 iaitu 51 tahun lalu. Rakyat Kedah pun merayakan jubli emas pemerintahan baginda tahun ini dengan pelbagai acara.

Suatu pagi pada tahun 2007, dua orang pensyarah Jabatan Komunikasi berasal dari Kedah, Abdul Halim Taib dan Che Mahzan Ahmad dipanggil oleh Datuk Seri Syed Arabi Idid, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mereka mendengar cetusan kasihnya terhadap Sultan Kedah Darulaman. Pertemuan kecil yang serba peribadi itu berlanjutan dengan cita-cita untuk menghasilkan sebuah projek naratif dalam bentuk buku sebagai cenderamata kenangan sempena jubli emas pemerintahan Sultan Abdul Halim menaiki takhta negeri Kedah. Projek naratif itu diberi nama 50 Tahun Pemerintahan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Di celah sela-sela mengajar dan melakukan penyelidikan akademik, Abdul Halim dan Che Mahzan membuat beberapa perjalanan pulang ke Kedah bagi mendapatkan bahan penerbitan. Suasana ketika itu bagaikan hal Eros Jarot dan Slamet Raharjo ketika membuat filem Martinah. Kata kedua-dua bintang Indonesia itu membuat filem tadi adalah kerja gila kerana ia dibuat bukan untuk mencari keuntungan tetapi demi mencari kebenaran.

Dalam kaitan di atas, "kerja gila" membuat naratif tentang Sultan ini menjadi kerja serba peribadi. Antara peribadi yang terlibat aktif dalam projek naratif ini ialah Profesor Manor Ibrahim , Dekan Kuliah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar UIAM. Tanpa ihsannya, projek naratif ini berkemungkinan menemui jalan buntu. Prof. Syed Arabi pula tidak henti-henti memberi dorongan.

Bagi melicinkan kerja dalam keadaan bajet yang boleh dikatakan kosong, kedua-dua pengajar berkata, mereka memohon bantuan ahli keluarga yang bertaburan di Alor Merah, Alor Star, dan Padang Sera menghulur bantuan dengan menyediakan nama-nama peribadi yang patut dihubungi.

Bekas guru lama seperti Datuk Wan Shamsudin Yusof, Datuk Abdul Halim R dan Shaarani Hassan yang kebetulan merupakan tokoh-tokoh sejarah dan budaya dirapati bagi mendapatkan pelbagai maklumat.

Keadaan tambah menarik apabila Allahyarham Dr. Shukri Yusof yang sibuk dengan projek kajian seni bina bangunan-bangunan lama di Kedah, campur tangan. Beliau mula memberi nama-nama kenalan keluarga mertuanya di Kedah yang rapat dengan istana. Sayang Dr. Shukri tidak sempat melihat naratif ini dalam bentuk buku.

Namun hasil kerja Dr. Shukri dalam bentuk model-model pelbagai istana dan bangunan bersejarah Kedah yang kini dipamer di Galeri Sultan Abdul Halim Alor Setar berkait rapat dengan projek naratif ini.

Kata Abdul Halim Taib, tanpa projek naratif ini beliau mungkin selama-lamanya tidak akan menemui erti kasih sayang rakyat jelata terhadap Sultan Abdul Halim.

"Hal ini terserlah semasa saya menemui orang Kedah yang berada jauh di pedalaman. Mereka ini cuma orang biasa yang tidak pernah sampai di istana. Sekarang ini semuanya sahih yang Sultan Abdul Halim ini memang payung negeri".

Bagi Che Mahzan, kerja menyiapkan buku mengenai Sultan Abdul Halim ini bagaikan usaha menyambung kronotaip naratif yang terburai sejak kematian moyangnya, Tok Haji Pak Tam di Padang Sera berpuluh-puluh tahun dahulu. Naratif itu ialah tentang rapatnya Sultan-Sultan Kedah dengan rakyat.

Buku 50 Tahun Pemerintahan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mempunyai 15 bab dengan puluhan foto menarik yang sebahagian besarnya merupakan koleksi peribadi Dr. Zikri Haji Abdul Ghani dari Banyan Antiques.

Sebenarnya memilih foto-foto yang banyak itu bukanlah perkara mudah tetapi suatu usaha untuk mengikat masa lampau, masa kini dan masa hadapan. Foto-foto yang dipaparkan boleh disebut sebagai jantung kerja naratif buku ini. Sekiranya pembaca kesuntukan masa untuk membaca keseluruhan naratif yang terkandung dalam 106 halaman, foto-foto itu dapat memberi imaginasi siapa sebenarnya Sultan Abdul Halim.

Tentu sahaja hal ini diperkukuhkan oleh naratif panjang yang diberikan oleh teman-teman sekolah, para birokrat negeri, pemimpin negara seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, tukang masak istana serta individu-individu yang rapat dengan baginda Sultan.

Buku ini patut dijadikan koleksi pembaca khasnya rakyat Kedah. Buku ini dilancarkan semalam oleh Tuanku Sultan Abdul Halim bersempena pembukaan rasmi Galeri Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url