Tidak wajar hina & caci Mufti Perak

Oleh MOHD. NOOR IKHRAM HUSIN
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Saya begitu kesal dan dukacita dengan cacian dan nistaan penyokong-penyokong parti politik tertentu dengan sewenang-wenangnya menghina institusi Kesultanan Melayu dan institusi ulama.

Saya sangat sedih apabila mereka sanggup menghina Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria, hanya kerana beliau menyatakan sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah tetap dianggap derhaka.

Lantas beliau dituduh dengan pelbagai tuduhan yang tidak munasabah. Hinaan, cacian serta kejian bagaikan mainan terhadap seorang ulama yang mengorbankan seluruh hidupnya ke arah penyatuan Islam.

Sesungguhnya saya amat kesal dengan sikap sebilangan penyokong-penyokong parti politik yang membuta tuli menuduh Mufti Perak dengan pelbagai gelaran dan penghinaan.

Saya berasa khuatir candu politik semakin meresapi pemikiran umat Islam. Bibit perpecahan sangat mudah ditiup, hatta pantas sahaja sesebuah isu berlaku. Pelbagai tohmah dan fitnah segera bertebaran.

Ingatlah Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan". (Al-Hujuraat:6)

Namun apa yang berlaku sekarang, asal sahaja tidak bersama dalam lingkaran sesebuah parti, pantas dijatuhi hukum sesat atau tidak punya sifat nasionalis yang tinggi. Mengapa harus dibiarkan emosi menguasai akal? Matanglah dengan sifat tawaduk kepada Allah SWT.

Firman Allah lagi: ''Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri (Surah Luqman:18)

Sepatutnya kita lebih rasional dengan emosi yang terkawal ketika memberi kritikan. Kata-kata keji dan makian hanya mengeruhkan perhubungan.

Apakah dengan cercaan mampu membendung permasalahan? Ketika kita sibuk memukul gendang perang sesama saudara, ada pula segelintir kumpulan bertepuk tangan melihatkan hasil usaha mereka memusuhkan kita sesama Islam. Ingatlah dan waspada.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url