Untung Maybank merosot kepada RM1.3 bilion
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, penurunan keuntungan itu disebabkan sumbangan yang rendah daripada perbankan antarabangsa, perbankan pelaburan dan operasi insurans ekoran persekitaran ekonomi yang mencabar.
"Keuntungan sebelum cukai kumpulan bagi tempoh enam bulan turut mengalami kejatuhan sebanyak 10 peratus kepada RM1.84 bilion berbanding RM2.04 bilion untuk tempoh sama sebelumnya.
"Namun Maybank mencatatkan peningkatan kadar faedah bersih sebanyak 3.2 peratus kepada RM2.81 bilion dan perolehan bagi semua segmen perniagaan kami meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM8.46 bilion,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan kewangan bank itu di sini, hari ini. Hadir sama di majlis itu adalah Ketua Pegawai Kewangan Maybank, Khairulsaleh Ramli.
Sementara itu, kumpulan Maybank turut mengumumkan cadangan terbitan hak sehingga RM6 bilion sebagai komponen utama dalam pelan tranformasi strategik untuk mengukuhkan modal selain dijadikan asas kukuh dalam pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan.
''Ia merupakan usaha kami untuk menjadi antara lima bank terbaik rantau ini menjelang 2015. Pelan transformasi strategik akan memberi fokus untuk mengukuhkan perniagaan asas dan francais untuk mencapai penanda aras global.
''Selain itu, ia adalah untuk menambah asas modal melalui terbitan hak serta meletakkan struktur organisasi bagi menyediakan fleksibiliti untuk pembahagian modal dan sumber pengurusan keseluruhan kumpulan,'' jelasnya.
Daripada aspek sukuan, keuntungan bersih suku keduanya yang berakhir 31 Disember 2008 berjumlah RM960.3 juta, meningkat berbanding RM881.8 juta pada suku pertama yang berakhir pada 30 September 2008, kata Abdul Wahid.
"Keuntungan kasar bagi suku kedua Kumpulan berjumlah RM734.6 juta berbanding RM572.2 juta pada suku sebelumnya.
"Prestasi Kumpulan Maybank menggambarkan pulangan bersih ekuiti tahunan sebanyak 13.2 peratus," katanya.
Maybank menjangkakan pertumbuhan pinjamannya akan meningkat sebanyak enam hingga tujuh peratus pada tahun ini berikutan penurunan kadar faedah yang dilakukan baru-baru ini sejajar dengan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.00 peratus.
''Namun kami menjangkakan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) kami akan meningkat pada tahun ini dan kami akan memantau perkembangannya dari masa ke masa,'' jelasnya.
Ketika ditanya mengenai semakan semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baru diumumkan, Abdul Wahid berkata, Maybank Investmnent Bank akan membentangkan unjuran baru mereka pada minggu hadapan setelah mengambil kira pelbagai perkembangan terbaru berhubung situasi ekonomi semasa.
Abdul Wahid berkata, Maybank positif dengan perkembangan operasi MCB Bank Ltd., Pakistan dan PT Bank Internasional Indonesia (BII) dan akan terus mengukuhkan operasi antarabangsanya terutama di Indonesia, Singapura dan Filipina.
Maybank juga yakin dan optimistik akan mencapai keuntungan bagi tahun kewangan berakhir Jun 2009 ini dan seterusnya bagi tahun kewangan akan datang.
- UTUSAN