5 didakwa di Mahkamah kerana menghina Sultan Perak
RUTININ Suhaimin, 35, dituduh melakukan kesalahan sama menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komen di alamat http://booksdreambook.com/duli/duli.html yang pada pukul 6.33 petang pada 13 Februari lalu di Kundasang, Sabah.
Nor Hisham Osman, 36, didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya di http://books.dreambook.com.web per/dul1.html yang mempunyai pautan kepada laman web Sultan Perak iaitu www.sultan.perak.gov.my. Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada pukul 12.34 tengah hari, 11 Februari lalu di Taman Lestari Perdana, Sri Kembangan, Selangor.
Muslim Ahmad, 54, didakwa atas tiga tuduhan menulis komen menghina Sultan Perak menggunakan perkhidmatan Internet menghina Sultan Perak di Setapak, Kuala Lumpur pukul 2.21 dan 2.27 petang, 7 Februari lalu.
Pembantu makmal Azrin Md. Zain, 33, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah menulis komen yang menghina Sultan Perak.
Pembantu makmal didenda RM10,000
Seorang pembantu makmal sebuah sekolah swasta didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menulis komen yang menghina Sultan Perak di sebuah laman web pada pertengahan Februari lalu.
Hakim Rozana Ali Yusoff turut memerintahkan Azrin Md. Zain, 33, dipenjara lima bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda tersebut.
Bapa kepada seorang anak itu merupakan salah seorang daripada lima tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 hari ini dan dia merupakan individu pertama yang disabitkan bagi kesalahan tersebut.
Kes ini merupakan kes pertama dalam sejarah perundangan negara yang melibatkan seksyen ini.
Beliau berkata, Azrin tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu kerana ia memberi kesan kepada orang lain dan hukuman setimpal diperlukan sebagai pengajaran agar ia tidak berulang.
Azrin yang berkemeja merah dan berseluar gelap kelihatan terkejut dan hampir menangis sebaik mendengar hukuman itu sambil memohon agar jumlah tersebut dikurangkan.
Mengikut pertuduhan, Azrin didakwa menggunakan perkhidmatan Internet melalui Internet Protokol (IP) 60.48.118.87 dengan membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelek sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di http://books.dreambook.com/duli.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat Sultan Perak iaitu www.sultan.perak.gov.my.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di No.8, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr. Ismail di sini kira-kira pukul 9.12 malam, 12 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Azrin merayu agar tidak dipenjara dan hanya didenda dengan alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Katanya, selepas melayari laman web berkaitan pelaburan mata wang asing, fikirannya berkecamuk dan mula menulis komen tersebut tanpa memikirkan akibatnya.
''Gaji pokok saya hanya RM1,680 sebulan dan saya tidak mahu dipenjara. Harap beri hukuman ringan. Saya akui kesilapan saya dan ini merupakan kesalahan pertama. Selama ini saya seorang warganegara yang baik dan patuh pada undang-undang,'' rayunya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah bagaimanapun memohon hukuman yang setimpal kerana ia satu kesalahan serius melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja serta mampu mengugat keharmonian negara.
Katanya, ia juga sebagai pengajaran kepada masyarakat terutama generasi muda yang banyak menggunakan Internet agar tidak melakukan perbuatan tersebut.
Sementara itu, seorang peniaga, Muslim Ahmad, 54, pula mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas tiga tuduhan menulis komen menghina Sultan Perak di laman web berkenaan pada awal Februari lalu.
Muslim didakwa menggunakan perkhidmatan Internet melalui alamat IP 202.190.131.200 untuk menghantar dua komen menghina Sultan Perak di No.1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai Setapak di sini pada pukul 2.21 dan 2.27 petang, 7 Februari lalu.
Sementara satu lagi komen yang lebih kurang sama dihantar pada pukul 4.39 petang, keesokan harinya di alamat yang sama.
Rozana membenarkan Muslim dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes itu.
Hon Keong dituduh edar komen lucah
Gara-gara mengedar komen lucah yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, seorang ahli perniagaan telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Chan Hon Keong, 26, didakwa melakukan kesalahan itu bersama isterinya, Khoo Hui Shuang, 27, melalui laman web http://books.dreambooks.com/duliduli.html yang mempunyai pautan kepada laman web Sultan Perak, www.sultanperak.gov.my.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat Nombor 5 Lorong Arowana Emas 2, Taman Arowana Emas, Permatang Pauh kira-kira pukul 12.05 pagi, 13 Februari lalu.
Hon Keong didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 292 yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Selain itu, Hon Keong turut menghadapi pertuduhan pilihan bersama-sama isterinya secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen lucah itu melalui laman web sama dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Bagi pertuduhan pilihan itu, dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat, waktu dan hari yang sama mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Hon Keong bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah.
Isteri Hon Keong, Hui Shuang yang kini berada di Sarawak tidak hadir ke mahkamah dengan alasan tidak sempat bertolak ke sini kerana serahan saman mengenai kes tersebut hanya dibuat petang semalam.
Hon Keong diwakili peguam Datuk C.V. Prabhakaran manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof dan Radhi Abas.
Julie membenarkan Hon Keong diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes itu pada 15 April ini.
Juru ukur beri alasan tertekan
Seorang juru ukur tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya ke laman web pejabat Sultan Perak dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Mengikut pertuduhan, Nor Hisham Osman, 36, didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya di http://books.dreambook.com.webper/dul1.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat Sultan Perak iaitu www.sultan.perak.gov.my dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa melakukannya dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi iaitu Internet melalui alamat Internet Protokol 118.101.116.160 secara sedar.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada pukul 12.34 tengah hari, 11 Februari lalu di rumahnya di No. 16-01-06, Blok 16 Pangsapuri Sri Indah, Taman Lestari Perdana, Sri Kembangan dekat sini.
Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd. Salleh mencadangkan kepada mahkamah supaya membebaskan Nor Hisham dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
''Kes ini melibatkan kepentingan awam kerana membabitkan penghinaan kepada Sultan Perak. Iaitu lambang kepada institusi raja berperlembagaan dan kes ini amat serius,'' kata Faizah.
Peguam Edmund Bon yang mewakili Nor Hisham bagaimanapun terlebih dahulu membantah dan mempertikaikan izin yang dikeluarkan oleh Ketua Unit Jenayah Perdagangan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Azmi Ariffin mengikut Seksyen 259 akta tersebut untuk mendakwa anak guamnya di mahkamah.
Menurut Edmund, anak guamnya bekerja di sektor swasta dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
Selain isteri, Nor Hisham menanggung tiga anak yang masih kecil dan dia berada dalam situasi tertekan ekoran kematian anaknya setahun lalu.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Hakim Balkis Aini Mohd. Ali memutuskan bahawa tiada sebarang kecacatan dalam izin yang dikeluarkan pendakwa raya.
Balkis juga membenarkan Nor Hisham dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 April ini.
Sejurus kemudian, Nor Hisham sambil menangis memberitahu mahkamah: ''Yang Arif sebenarnya saya dalam dilema, saya ingin mengaku bersalah tetapi saya memang tidak melakukannya kerana itu dalam tempoh waktu bekerja. Saya pun sangat tertekan selepas anak saya meninggal dunia dan ketika itu saya pun rasa hendak membunuh diri. Jika kes berpanjangan, saya bertambah tertekan.''
Mendengarkan kata-kata Nor Hisham, Balkis berkata, meskipun tidak mahu tahu hal-hal peribadi tetapi apabila sesuatu didedahkan, sebagai seorang Islam beliau terpanggil untuk menasihati lelaki itu.
''Memang kamu tertekan tetapi ini bukanlah penghujung jalan dalam hidup. Jika tidak melakukan kesalahan, apa perlunya kamu mengaku salah.
''Bincang dan dapatkan nasihat daripada peguam kamu. Balik tenangkan fikiran dan fikirlah kamu masih ada tanggungjawab lain yang lebih berat. Ini semua dugaan dan pasti ada rahmat di sebalik apa yang berlaku,'' nasihat beliau.
Sementara itu, Nor Hisham kelihatan meninggalkan mahkamah pada pukul 3.30 petang selepas diikat jamin oleh abangnya.
Pemilik kedai dihadap ke mahkamah
Seorang pemilik kedai telefon bimbit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi komen-komen dalam laman blog yang menjurus kepada perbuatan menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Rutinin Suhaimin, 35, yang berasal dari Kundasang, Ranau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ummu Kalthom Abdul Samad.
Menurut kertas pertuduhan, Rutinin dituduh melakukan kesalahan itu pada pukul 6.33 petang pada 13 Februari lalu di Blok A, Lot 4 Kedai Sedco, Kundasang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya di alamat http://booksdreambook.com/duli/duli.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat Sultan Perak iaitu www.sultan.perak.gov.my.
Rutinin dituduh di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.
Ummu Kalthom kemudiannya menetapkan 25 dan 26 Mei ini sebagai tarikh perbicaraan kes tersebut. Beliau juga membenarkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib manakala Rutinin diwakili peguam Muammar Julkarnain.
- UTUSAN
