Derita disimbah asid


Ketabahan Zarina, 29, menjalani kehidupan selepas enam tahun menjadi mangsa simbah asid sememangnya mengagumkan keluarga dan kenalan rapatnya.

Walaupun mukanya melecur teruk sehingga menyebabkan mata kanannya buta, dia tidak pernah menangisi tragedi yang telah merampas senyuman bahagianya.

Malah, setiap kali mengenangkan payah jerih dan keprihatinan ibu bapanya yang ingin melihat dia kembali sempurna, semangat gadis ini semakin kuat untuk bangkit membuktikan dia juga mampu berjaya.

Menjejaki semula Zarina tidak begitu susah. Namun cuma bapanya, Ahmad, yang sedia berkongsi cerita walaupun agak keberatan pada mulanya. Zarina ternyata masih trauma dan enggan mengingati kenangan lalu.

“Saya bukan tak nak bercerita, tapi kalau diingat semula kisah ini, sama seperti saya gali semula kenangan pahit yang sudah saya kuburkan,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor.

Sebagai bapa, Ahmad tidak mungkin dapat melupakan peristiwa itu. Jika dibandingkan dengan anaknya, Ahmad mengakui Zarina lebih tenang walaupun hakikatnya anak gadisnya itu yang terpaksa menderita akibat kehilangan mata kanannya.

“Dia memang anak yang kuat semangat. Walaupun matanya buta, mukanya melecur teruk dan kini bergelar orang kurang upaya (OKU), sekali pun saya tak pernah nampak dia menangis atas nasib yang menimpanya.

“Hanya sekali ibunya bercerita kepada saya Zarina menangis, itu pun ketika saya mahu berangkat menunaikan haji,” katanya.

Merungkai punca graduan sebuah kolej swasta itu disimbah asid, Ahmad memberitahu, ia dilakukan oleh kawan baik anaknya sendiri.

Kisah bermula apabila Zarina menolak lamaran lelaki tersebut.

“Mereka memang berkawan baik, malah lelaki itu pernah bertandang ke rumah kami. Bila secara tiba-tiba dia mengajak Zarina bertunang, anak saya menolak kerana usianya ketika itu baru 22 tahun,” kenang Ahmad.

Tidak lama selepas lamaran itu ditolak, Zarina keluar bersama rakan-rakan untuk meraikan majlis ulang tahun kelahiran majikannya di sebuah hotel ternama di Subang.

“Anak saya mendengar ada orang panggil namanya, bila dia menoleh, Zarina tergamam apabila mukanya disimbah cecair panas dipercayai asid. Sebab terlampau sakit, Zarina pengsan di situ,” katanya.

62 hari ditahan wad

Ekoran kemalangan itu, Zarina terpaksa ditahan di wad hospital selama 62 hari.

Sejak anaknya dimasukkan ke wad, Ahmad bagaikan hilang semangat dan sentiasa sedih mengenangkan nasib Zarina yang sememang rapat dengannya.

“Kami berdua memang rapat. Jika ada masa lapang, kami selalu berbual dan menghabiskan masa bersama. Tetapi apabila saya mendapat berita anak saya disimbah asid, saya sangat terkejut dan terlalu sedih.

“Sebaik saja saya sampai di hospital, luluh hati tua saya apabila melihat muka Zarina. Macam tak percaya anak yang selama ini manja, periang dan saya tatang bagai minyak yang penuh hanya terbaring kaku,” katanya sebak.

Tambah Ahmad, yang lebih menyedihkan doktor yang merawat Zarina ketika itu memberitahu mata kanan anaknya buta manakala mata kirinya turut cedera dan hilang 80 peratus keupayaan melihat.

“Saya bersyukur, mata anak saya tidak buta kedua-duanya. Saya juga mula berikhtiar dengan pelbagai cara untuk memulihkan penglihatan anak saya.

“Saya sanggup melakukan apa saja untuknya, malah saya tidak kisah terpaksa menjual rumah hanya untuk mendapatkan duit bagi menampung kos pembedahan mata Zarina,” jelas Ahmad.

Setakat ini, Zarina telah menjalani 11 siri pembedahan mata di Singapura. Sebanyak RM250,000 telah dibelanjakan untuk tujuan itu.

“Demi anak, saya tak kisah. Asalkan dia boleh nampak semula saya sanggup buat apa saja,” katanya.

Selain menjual rumah, Ahmad juga dibantu oleh Biro Pengaduan Awam MCA yang menyumbang RM34,632 hasil sumbangan orang ramai untuk menampung kos rawatan dan pembedahan mata Zarina.

Walaupun dibedah sebanyak 11 kali, penglihatan Zarina masih kabur. Namun, menurut Ahmad, selepas dia menunaikan ibadat haji pada tahun 2005, penglihatan anaknya beransur pulih dan meningkat hingga 80 peratus.

Hari ini, setelah hampir tujuh tahun kejadian itu berlaku, Ahmad sudah boleh tersenyum melihat anak gadisnya mampu berdikari malah lebih menggembirakan anak gadis tunggalnya itu bakal menamatkan zaman bujangnya Ogos ini dengan seorang lelaki OKU.

“Saya bersyukur, sekarang anak saya beransur pulih. Dia sudah mampu berdikari malah menguruskan pusat rawatan refleksologi bersama tunangnya di Bukit Jalil,” katanya.

Menurut Ahmad, meskipun terpaksa bangkit dengan wajah berbeza, namun Zarina tetap cekal kerana dia yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Penjenayah puas lihat mangsa derita

Menurut seorang penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, tindakan menyimbah asid tiada kena mengena dengan konflik jiwa seperti trauma, skizofrenia atau penyakit mental yang lain.

“Jenayah melibatkan cecair berbahaya seperti bahan mudah terbakar, menghakis dan mudah meletup seperti petrol, asid dan minyak tanah memerlukan perancangan rapi kerana kebiasaannya barangan tersebut jarang didapati di rumah.

“Sekiranya penyerang mampu merancang dengan rapi dan tahu akibat yang bakal ditanggung mangsa, ini jelas membuktikan penyerang sedar dan faham mengenai perbuatannya itu,” katanya.

elas Kamal, penyerang cenderung menggunakan asid sebagai senjata kerana terdapat kemungkinan mereka tidak berniat untuk membunuh mangsa serta-merta tetapi hanya ingin melihat penderitaan mangsa menjalani kehidupan selepas disimbah asid.

“Penyerang tidak mahu membunuh atau menyebabkan kematian serta-merta sebaliknya dia mahu mangsa merasai kepedihan, mengerang kesakitan dan meminta tolong.

“Apabila penyerang melihat mangsa terpaksa berdepan dengan kecacatan kekal seperti buta atau lumpuh, penyerang akan berasa puas kerana dia berjaya membuat mangsa menderita seumur hidup,” katanya.

Berdasarkan kes-kes simbah asid yang berlaku di Malaysia sekitar tahun 1993 hingga sekarang, tiga motif utama yang mendorong penyerang nekad menyimbah asid adalah amarah, cemburu dan dendam yang melampau. Bahagian muka, kepala dan dada mangsa menjadi sasaran utama mereka.

Ditanya adakah menyimbah asid lebih kejam daripada membunuh kerana penyerang mahu melihat mangsa menderita, Kamal berkata, sebarang bentuk keganasan adalah kejam apatah lagi ia melibatkan kehidupan dan masa depan mangsa.

“Lebih kejam jika ia dirancang oleh orang yang dikenali mangsa seperti isteri sendiri,” katanya.

Tambahnya, penyerang yang layak digelar golongan ‘sadisme’ ini kebanyakan dijumpai di Bangladesh, India, Pakistan. Di negara-negara berkenaan, jenayah menyimbah asid dan membakar lebih kerap berlaku.

“Walaupun kejadian simbah asid jarang berlaku di Malaysia, ia tetap membimbangkan. Ia satu perbuatan jenayah,” katanya.

- KOSMO!
www.kosmo.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url