Indonesia demam pilihan raya
Beribu-ribu penyokong dijangka memeriahkan pesta bendera dan perarakan menjelang pilihan raya Parlimen pada 9 April ini sebelum diikuti dengan pilihan raya presiden pada 8 Julai.
Berpuluh-puluh wakil daripada parti-parti politik yang bertanding berkumpul di Jakarta semalam bagi menandatangani satu perjanjian untuk mengadakan kempen pilihan raya yang aman.
Pemimpin-pemimpin politik tersebut berpegang tangan di atas pentas sambil berikrar untuk berdisiplin serta menganjurkan kempen yang aman.
Beribu-ribu penyokong yang memakai baju mengikut warna parti masing-masing pula berdiri sambil menyanyikan lagu kebangsaan.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang mengasaskan Parti Demokrat tidak hadir pada majlis itu tetapi para pemimpin daripada 38 parti yang lain tetap mengambil bahagian.
Susilo dan Parti Demokrat dilihat sebagai calon pilihan selepas mendahului para pencabar yang lain dalam beberapa pungutan suara.
Susilo dalam pilihan raya yang lalu berjanji untuk mengwujudkan peluang pekerjaan, menghapuskan rasuah dan meningkatkan keselamatan rakyat.
"Sepanjang pemerintahan Susilo, Indonesia berada dalam keadaan stabil dan ekonomi juga bagus," kata seorang penganalisis politik, Syamsuddin Haris.
- REUTERS
www.reuters.com

