Doktor klon tiga bayi di Itali

Seorang doktor Itali yang terkenal kerana membantu wanita mendapatkan anak selepas menopaus, mendakwa melakukan pengklonan tiga bayi yang kini tinggal di timur Eropah.

"Saya membantu melahirkan tiga kanak-kanak dengan menggunakan teknik pengklonan manusia.

"Ia membabitkan dua budak lelaki dan seorang perempuan yang hari ini berusia sembilan tahun. Mereka dilahirkan sihat sehingga sekarang," kata Severino Antinori kepada mingguan Oghgi yang disiarkan kelmarin.

Antinori, bagaimanapun, tidak memberikan sebarang bukti terhadap dakwaannya itu tetapi berkata sel daripada tiga bapa yang disterilkan membenarkan pengklonan itu dijalankan.

"Telur wanita diproses dalam makmal melalui kaedah pemindahan nuklear," katanya.

Antinori yang menjadi terkenal selepas membantu seorang wanita berusia 63 tahun mendapatkan anak pada 1994 enggan memberikan maklumat lanjut tetapi berkata: "Menghormati hak keluarga berkenaan tidak membenarkan saya mendedahkan lebih lanjut."

Beliau berkata, kaedah digunakan adalah 'satu kemajuan' berbanding teknik mengklon Dolly, seekor kambing biri-biri pada 1996.

Selepas diingatkan wartawan bahawa tindakan pengklonan itu adalah dilarang di Itali yang berpegang kepada ajaran Katolik, doktor itu berkata, beliau lebih suka merujuk kepada terapi inovatif atau rakaman genetik berbanding pengklonan.

Dua minggu lalu, Antinori mencetuskan kontroversi dengan mengumumkan bahawa beliau akan membantu seorang wanita yang suaminya berada dalam keadaan koma berikutan mengalami ketumbuhan otak.

Tindakan beliau itu jika berjaya akan menjadi prosedur pertama seumpamanya di Itali.

- AGENSI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url