Kecoh kerana tikus

Penduduk di Chittagong, Bangladesh bukan saja berdepan dengan risiko kebuluran, malah ancaman wabak penyakit bawaan tikus apabila populasinya meningkat.
Masyarakat di kawasan terpinggir lereng bukit Chittagong, Bangladesh kini berhadapan dengan risiko wabak bubonik iaitu sejenis penyakit bawaan tikus.
Program Pemakanan Dunia UN (WFP) telah mula mengedarkan bekalan makanan bernilai 3 juta dolar (RM11 juta) kepada lebih 120,000 orang di sempadan India dan Myanmar sejak Mei lepas selepas populasi tikus meningkat dengan mendadak.
Tikus-tikus tersebut ada yang mencecah berat sehingga 1.5 kilogram (2.2 paun) dan makan buluh-buluh di kawasan berbukit di daerah tersebut.
Profesor Zoologi Universiti Dhaka, Nurjahan Sarker yang berkunjung ke kawasan tersebut telah mengeluarkan amaran terhadap gejala dan wabak yang ditimbulkan tikus sepanjang tahun lepas.
"Ancaman yang boleh mengakibatkan kebuluran ini memusnahkan segala-galanya di bukit tersebut," katanya.
Menambah kepada situasi yang membimbangkan itu, Nurjahan memberitahu, pihak berkuasa harus bertindak pantas untuk mengelakkan sebarang wabak merbahaya menyerang kawasan tersebut.
"Kerajaan seolah-olah tidak menyedari masalah ini dan tidak memikirkan cara untuk membanterasnya sedangkan kajian di Bangladesh menunjukkan populasi tikus telah meningkat dua kali ganda setiap tiga minggu," kata Pakar Ekologi Tikus, Universiti Greenwich di Britain, Steven Belmain.
Ini bermakna, populasi tikus-tikus itu akan merebak ke kawasan lain untuk mencari makanan.
"Bukan sahaja memusnahkan hampir semua tanaman di kawasan tersebut, tikus-tikus itu juga menceroboh ke dalam rumah penduduk dan merosakkan harta benda dan makanan yang disimpan serta menggigit penduduk ketika mereka tidur.
"Seluruh kawasan tersebut diancam kebuluran memaksa orang ramai bergantung kepada bantuan makanan. Masalah kekurangan bekalan makanan akan menjadi masalah untuk kawasan ini bagi tempoh beberapa tahun.
"Kami berjaya menangkap 2,000 tikus besar dalam satu hektar tanah. Keadaan akan menjadi lebih teruk jika tikus-tikus ini mula memperluaskan kawasan pembiakan mereka," kata Belmain.
Kesatuan Eropah telah membelanjakan 1.65 juta euro (RM7.8 juta) untuk bantuan kecemasan pada Mei lepas dan mengumumkan akan menghantar bantuan sebanyak 2 juta euro (RM9.4 juta) lagi untuk jangka masa 12 bulan.
Tikus-tikus itu makan segala-galanya dan kemudian beredar ke kawasan lain. Kali terakhir kawasan itu diserang tikus adalah pada tahun 1958 dan ia berlarutan selama tiga tahun.
Menteri kerajaan, Dipankar Talukdar berkata, situasi telah bertambah baik di sesetengah kawasan setelah kerajaan memperkenalkan satu program untuk mengurangkan populasi tikus.
Tetapi Belmain memberitahu, tikus-tikus tersebut meninggalkan sesebuah kawasan hanya selepas mereka menghabiskan segala sumber makanan dan terpaksa mencari kawasan lain.
Katanya, risiko untuk tercetusnya wabak bubonik adalah sangat tinggi dalam negara berpenduduk 144 juta orang yang merupakan antara negara termiskin di dunia.
Penyakit yang disebabkan oleh bakteria itu berlaku akibat gigitan hama atau kutu yang dibawa oleh tikus yang dipercayai menjadi punca kematian jutaan manusia pada kurun ke-14 di Eropah.
Tercetusnya masalah itu di Bangladesh boleh melumpuhkan ekonomi yang sedang berkembang sebanyak enam peratus setahun sejak empat tahun lepas daripada aktiviti eksport.
Kerajaan mungkin terpaksa mengarahkan kuarantin antarabangsa dengan semua penerbangan keluar masuk negara dibekukan termasuk eksport dan import.
Wabak yang melanda Surat di India pada 1994 telah mengakibatkan fenomena yang serupa iaitu kuarantin antarabangsa yang telah menguburkan ekonomi buat seketika.
Belmain memberitahu, masalah kesihatan dan ekonomi yang diakibatkan oleh pembiakan tikus boleh membangkitkan isu sekuriti di kawasan tertentu yang mengakibatkan perbalahan antara etnik.
Kekurangan bekalan makanan telah pun memberi tekanan antara 13 etnik minoriti dan beberapa penghuni dari kawasan lain di Bangladesh.
Kerajaan telah pun menandatangani perjanjian perdamaian dengan puak terbesar kawasan itu pada 1997 yang berjaya menamatkan perbalahan selama dua dekad yang mengorbankan 2,500 orang.
Sejak permusuhan tersebut tercetus, ramai yang menyalahkan kerajaan kerana tidak menangani masalah itu dengan telus.
"Kebanjiran populasi tikus boleh menambahkan perbalahan di kawasan ini. Mereka yang lapar adalah mereka yang marah," kata Belmain.
- AFP

