Keistimewaan 'imuniti' wakil rakyat perlu ditafsir semula

Sejak kebelakangan ini ada kalangan pemimpin politik cuba mempersendakan pertubuhan Melayu dan dasar-dasar kerajaan sama ada di dalam Dewan Rakyat atau pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Contoh terbaru ialah ucapan Pengerusi DAP, Karpal Singh di sidang Dewan Rakyat apabila beliau mengatakan Pemuda UMNO "celaka" sementara ketua pembangkang di DUN Johor, Dr. Boo Cheng Hau pula berucap menyamakan amalan 'bumiputeraisme' dengan dasar aparteid.

Apa makna semua ini?

Keberanian pemimpin politik sebegini kerana mereka berasa cukup kebal daripada tindakan undang-undang jika ada pihak ingin membuat pendakwaan terhadap mereka.

Sebab itu cadangan Ketua Pemuda UMNO Johor, Datuk Razali Ibrahim meminta kerajaan menterjemahkan maksud sebenar imuniti yang diberikan kepada wakil rakyat ketika berhujah di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri wajar diberi perhatian serius.

Sudah tiba masanya wakil rakyat yang melampaui batas dikenakan tindakan undang-undang. Kekebalan yang diberikan selama ini semakin disalahgunakan.

Meskipun semua wakil rakyat diberi hak imuniti ketika menyuarakan pandangan di Dewan Rakyat atau DUN, mereka tidak boleh terlepas begitu sahaja apabila isu-isu yang dibangkitkan boleh membawa kepada keresahan, rusuhan atau pergaduhan antara kaum.

Mengapa wakil rakyat yang meniupkan api perkauman dan menimbulkan suasana tidak stabil kepada negara dibiar bebas tanpa pendakwaan undang-undang, sebaliknya mereka yang marah 'hasutan' pemimpin itu pula mungkin dikenakan tindakan?

Kedudukan istimewa Dewan Rakyat atau DUN tidak boleh dieksploitasi untuk kepentingan politik peribadi.

Jika wakil rakyat yang melulus dasar dan undang-undang negara tidak menghormati hak-hak kaum lain dan polisi kerajaan, apa guna keistimewaan imuniti itu dipertahankan?

Rakyat kini melihat tindakan melampau wakil rakyat sudah melebihi had yang sepatutnya.

Beberapa isu sensitif yang diminta tidak dibangkitkan masih terus diungkit dengan membangkitkan kemarahan kaum tertentu.

Bukan itu sahaja, penggunaan bahasa kasar dan tuduhan melulu diluahkan oleh wakil rakyat veteran yang sudah tentu tahu peraturan Dewan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja.

Kita rasa terkilan melihat perkembangan perbahasan ahli-ahli Dewan yang kian emosional. Apakah perkara yang mereka bangkitkan dalam perbahasan itu memberi faedah kepada rakyat atau tidak? Atau ia sekadar cakap-cakap kosong yang membuang masa persidangan dan wang rakyat.

Perbuatan dan tindak-tanduk wakil-wakil rakyat baik di Parlimen atau DUN perlu dikawal. Rakyat pasti menyokong supaya dikaji semula hak imuniti Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri ketika berucap di dalam Dewan Rakyat atau DUN.

Oleh itu adalah wajar imuniti itu dikaji semula agar mereka tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan hak yang diberikan itu dengan sengaja menimbulkan isu-isu sensitif.

Keistimewaan imuniti itu perlu ditafsir semula supaya ia tidak menjadi 'imuniti mutlak' sehingga boleh disalahgunakan oleh wakil rakyat sama ada dengan sengaja atau tidak.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url