Komentar - Suara kekebalan Ahli Parlimen mesti disertai tanggungjawab
Namun, bagi Ibrahim, sudah tiba masa keistimewaan dinikmati semua Ahli Parlimen ditarik balik bagi mengelak mereka berselindung di sebalik kekebalan untuk melemparkan tuduhan terhadap seseorang yang tidak mempunyai peluang untuk membalasnya. Memang selama ini, tercetus pelbagai polemik di Parlimen termasuk melemparkan tuduhan terhadap seseorang, terutama yang tiada di Parlimen, iaitu bukan wakil rakyat atau organisasi tertentu tetapi golongan ini tidak boleh untuk mempertahankan diri.
Imuniti itu sebenarnya adalah amalan di dalam Parlimen bagi negara Komanwel bagi membolehkan Ahli Parlimen membahaskan sesuatu isu secara terbuka tetapi bertanggungjawab. Kita berpendapat, tidak perlu untuk menarik balik imuniti itu kerana apa yang penting ialah tahap disiplin perlu diberi keutamaan bagi mengawal diri daripada mengeluarkan ungkapan atau perkataan tidak sepatutnya. Imuniti yang dinikmati 222 Ahli Parlimen itu perlu disertai dengan perasaan tanggungjawab.
Bagaimanapun, Dewan boleh bertindak mengikut Fasal 36 (12) Peraturan Mesyuarat untuk menghadapkan ahlinya kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan supaya dikenakan tindakan, andainya tatatertib mereka melanggar disiplin Dewan. Kita tidak pasti sejauh mana kekebalan Ahli Parlimen andainya ada pihak mahu menyaman mereka berikutan ungkapan di Parlimen yang mungkin berbentuk hasutan, fitnah atau apa saja yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tertentu. Ada juga pendapat guaman menyatakan Akta Hasutan boleh digunakan untuk menyaman Ahli Parlimen yang berbuat demikian.
Selama ini, orang ramai berpendapat bahawa jika ungkapan seseorang Ahli Parlimen yang berbentuk hasutan itu diulangi di luar Dewan barulah boleh disaman.
Malah, Ahli Parlimen kadang-kala mengaitkan isu yang sedang dibicarakan di mahkamah di dalam Parlimen. Contoh terbaru ialah tindakan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Deo Singh yang membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang Parlimen kelmarin, apabila berulang kali menyebut kes bunuh warga Mongolia, Altantuya Shariibu selepas diarahkan keluar dari Dewan Rakyat. Biarlah pakar undang-undang membuat tafsiran sama ada tindakan itu boleh diheret ke mahkamah atau tidak dan kemudian terserah kepada mahkamah untuk memutuskannya.
- BERITA HARIAN
