Pemandu Wanita - Lembap atau berhati-hati?

Dari dulu hingga kini tanggapannya masih sama - pemandu lelaki lebih cekap daripada pemandu wanita. Persoalannya, sejauh mana kebenaran ‘mitos’ tersebut?

Walaupun tiada bukti kukuh untuk kenyataan tersebut, tetapi berapa ramai lelaki sanggup mengakui isteri atau teman wanita mereka memandu dengan lebih baik.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad berkata, tabiat memandu antara pemandu lelaki dan wanita sebenarnya hampir sama sahaja.

Bahkan menurut beliau, pemandu wanita lebih cermat dan berhati-hati menyebabkan mereka lebih senang memandu dengan kadar lebih perlahan berbanding pemandu lelaki.

“Pemanduan berhati-hati oleh pemandu wanita ini boleh dilihat ketika mereka memandu di kawasan berbahaya seperti di simpang dan memotong di selekoh.

“Perbuatan tersebut tidak dinafikan kadang kala menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, namun jika dilihat dari sudut lain keadaan itu adalah lebih selamat.

“Dalam pada itu, pemandu wanita yang juga lebih beretika daripada lelaki kerana sifat semula jadinya yang amat mengambil berat tentang keselamatan termasuk ketika mereka hendak memulakan pemanduan,” ujar beliau.

Cuma bagi beliau, masalah yang sering dihadapi oleh wanita ialah kurangnya keyakinan diri apabila memandu.

Mereka kerap diburu perasaan akan dilanggar kenderaan lain dan ramai juga pemandu wanita cepat panik serta risau pada perkara yang belum pasti berlaku.

Namun, apabila diminta komen tentang sejauh mana kebenaran pemandu wanita lebih banyak terbabit dalam kemalangan jalan raya, Aishah menyangkal perkara tersebut.

“Menerusi apa yang dilaporkan di akhbar, kebanyakan kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh pemandu lelaki berbanding pemandu wanita.

“Ini mungkin disebabkan oleh dua perkara iaitu kerana lebih ramai pemandu lelaki berbanding wanita, dan kedua sikap sambil lewa pemandu lelaki ketika memandu,” jelas beliau.

Sebagai pemandu, Aishah juga pernah berhadapan dengan situasi pemandu yang kurang sopan dan suka memotong sesuka hati.

“Tidak dinafikan pemandu muda lebih agresif, terutama yang baru memperoleh lesen,” katanya.

Sebagai langkah mengelakkan lebih banyak kemalangan yang berpunca daripada pemandu wanita, kerajaan patut menjalankan kempen pemanduan selamat menerusi media dan sekolah memandu, bukan hanya untuk wanita malah kepada semua.

“Penerbitan risalah pula hanya akan memberi manfaat sekiranya pemandu benar-benar mengadaptasi apa yang dibaca ketika pemanduan sebenar,” kata beliau.

Bagi Suraya Nuraliaa Saharidan, seorang remaja, memandu kereta sendiri dan keluar bersama rakan-rakan ke kota merupakan gaya hidup remaja masa kini.

Mungkin tidak salah bergaya dengan kereta sendiri, bersosial dengan rakan-rakan dari satu tempat ke satu, tetapi yang paling penting anda mempunyai lesen memandu.

Untuk itu, Suraya Nuraliaa, sebaik sahaja umurnya mencecah 17, beliau terus mendaftarkan diri di sebuah pusat latihan memandu di Ipoh, Perak, tempat tinggal keluarganya.

“Sebenarnya ibu saya memang menggalakkan kami adik-beradik supaya terus mengambil lesen memandu apabila umur mencecah 17 tahun.

“Ini untuk memudahkan kami mengatur masa belajar dan menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi tanpa perlu memperuntukkan masa untuk menghadiri latihan pemanduan,” jelas Suraya ketika ditemui di pusat latihan memandu Telatin Mewah, Gombak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Suraya yang kini merupakan pelajar tahun dua jurusan bioteknologi di Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech, Damansara mengakui, ramai di antara rakan-rakannya yang memandu tanpa lesen.

Alasannya, mereka tidak ada masa untuk mengikuti jadual kelas memandu dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membiaya kos keseluruhan mengikuti latihan memandu.

Paling menghairankan Suraya, ada di antara teman sekuliah yang telah tiga tahun memandu kenderaan ke kolej tanpa lesen.

“Pernah juga saya bertanya padanya tidak risaukah melakukan kesalahan undang-undang jalan raya, tetapi menurut sahabat itu setakat ini dia selalu bernasib baik kerana tidak pernah ditahan polis ketika sekatan jalan raya diadakan,” jelas gadis yang turut memiliki lesen motosikal ini.

Memiliki lesen memandu lebih daripada setakat takutkan pihak berkuasa tetapi apa yang lebih penting mereka tidak membahayakan diri sendiri dan pemandu lain ketika berada di jalan raya.

Pemandu tanpa lesen yang kemalangan juga tidak dilindungi insurans dan jika berlaku kematian, ia ibarat `mati katak.’

Bagi Suraya, ia maju mengelak perkara itu berlaku.

Anak sulung kepada empat beradik ini juga mengakui memandu ketika baru pertama kali memperoleh lesen P memang agak mencabar.

“Walaupun sudah ada lesen saya belum begitu mahir, jadi rasa gementar dan gemuruh masih ada. Waktu itu, saya mengambil langkah berhati-hari dengan memandu secara perlahan,” katanya.

Sebagai pemandu perempuan, kebenaran untuk memandu daripada ibu bapanya terhad pada jarak sekitar tempat tinggalnya sahaja. Paling jauh pun untuk balik ke kampung, itupun mesti dengan pengawasan rakan yang telah lama memiliki lesen memandu.

Seperti orang lain, Suraya turut hampir terlibat dalam kemalangan ketika memandu dalam hujan lebat di akhir tahun lalu kerana hampir melanggar penunggang motosikal yang berpakaian gelap.

Suraya juga pernah berhadapan dengan keadaan dibuli pemandu lelaki ketika dia baru sahaja mula memandu kenderaan sendiri.

“Mungkin juga kerana saya belum mahir tentang jalan raya di Kuala Lumpur membuatkan saya memandu perlahan dan agak berhati-hati, ada kenderaan di belakang yang tidak puas hati tiba-tiba hon panjang dan menunjukkan reaksi muka yang tidak menyenangkan,” katanya sambil mengungkapkan pemanduan adalah satu proses ke arah kematangan fikiran.

Honda bantu pemandu wanita

Syarikat automotif terkenal Honda Motor Co., dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini tidak bersetuju terhadap andaian pemandu wanita lebih teruk berbanding pemandu lelaki.

Sebagai langkah persediaan, pembuat kereta Jepun ini telah menerbitkan sebuah risalah panduan pemanduan untuk wanita di Jepun.

Ia merangkumi cara-cara mengisi minyak sendiri, pemanduan selamat bersama anak-anak atau binatang peliharaan dan yang paling penting cara meletakkan kenderaan yang betul.

Risalah tersebut yang telah diedarkan di Jepun baru-baru ini telah menghilangkan kegusaran di kalangan pemandu wanita di Jepun.

Menurut seorang jurucakap Honda, penerbitan risalah percuma tersebut khusus untuk memberi ilmu, panduan dan juga pendedahan kepada pemandu wanita tentang cara pemanduan selamat.

“Kami juga ingin mengurangkan kadar kemalangan yang membabitkan pemandu wanita, kerana golongan ini sememangnya terlalu berhati-hati ketika memandu,” ujar seorang jurucakap tersebut.

Honda juga tidak mahu pemandu wanita dikatakan lebih teruk daripada lelaki kerana syarikat itu tidak berpandangan begitu.

“Cuma ada sesetengah kes pemanduan yang membabitkan kaum wanita, dan kami sedang memberi fokus ke arah membetulkan kes,” jelas beliau lagi.

Risalah tersebut turut memberi panduan kepada pemandu wanita yang berusia 60 tahun ke atas. Selain itu terdapat artikel tentang kesedaran penjagaan alam sekitar, cara-cara penjimatan minyak dan panduan pemanduan selamat ketika di waktu malam.

Kasut tumit tinggi atau berkaki ayam?

Umum mengetahui frasa lady driver merujuk kepada pemanduan lemah oleh kaum Hawa yang sering dimomokkan oleh pemandu lelaki.

Sebenarnya, tidak adil untuk mengatakan pemandu wanita lemah atau kurang cekap berbanding lelaki, sebaliknya mereka lebih memilih untuk memandu secara berhemah dan berhati-hati.

Selain rata-ratanya memandu pada kelajuan yang ditetapkan dan mematuhi segala undang-undang jalan raya, terdapat beberapa tabiat pemandu wanita yang sedikit sebanyak sebenarnya menyumbang kepada langkah-langkah keselamatan.

Mungkin antara kita biasa melihat pemandu wanita yang menanggalkan kasut tinggi mereka sebelum memulakan pemanduan, bermakna mereka memandu dengan 'berkaki ayam' atau menggantikan dengan kasut bertapak rata.

Walaupun ada yang berpendapat tabiat memandu dengan berkaki ayam tidak bergaya dan tampak tidak sempurna bagi seorang wanita, namun ia menepati dengan satu kajian yang dijalankan di United Kingdom terhadap golongan pemandu wanita.

Kajian tersebut menyatakan bahawa 11.5 juta wanita meletakkan nyawa mereka dalam bahaya kerana memakai kasut yang tidak sepatutnya ketika memandu.

Dalam kajian tersebut, sebuah syarikat insurans yang menjalankan kaji selidik terhadap 750 pemandu wanita di negara itu, mendapati wanita yang memandu dengan memakai kasut tumit tinggi lebih berisiko untuk berhadapan dengan kemalangan.

Kajian tersebut turut mendapati bahawa empat daripada lima wanita tidak memakai kasut yang sepatutnya ketika memandu. Malah pemakaian selipar dan sandal bertali juga sebenarnya menyukarkan pemanduan.

Kajian yang dilakukan oleh syarikat insurans kereta wanita Sheilas' Wheels mendedahkan hampir 80 peratus pemandu wanita memakai kasut yang salah ketika memandu.

Manakala, 60 peratus pula mengaku memandu dengan berkasut tumit tinggi dan hanya 18 peratus memandu dengan berkaki ayam.

Hanya 17 peratus yang menukar kasut yang sepatutnya sebelum memandu. Daripada jumlah tersebut, 75 peratus mengaku pernah hampir berhadapan dengan kemalangan kerana kasut mereka tergelincir atau tersangkut di antara pedal minyak dan brek.

Telah disahkan pemakaian kasut tinggi dan selipar mengurangkan penguasaan pemandu terhadap kenderaan terbabit.

Jelaslah walaupun tidak kelihatan seksi dan bergaya sebaiknya berkaki ayam lebih selamat daripada memandu dengan kasut tumit tinggi.

Bagaimanapun, memakai kasut yang rata tapaknya ketika memandu mungkin lebih baik daripada berkaki ayam kerana ia mampu memelihara tapak kaki yang lembut daripada menjadi kasar apabila terkena besi pedal yang keras.

Mendapat lesen memandu

Setiap warga Malaysia yang telah melepasi kelayakan umur mesti memiliki lesen jika ingin memandu kenderaan di jalan raya.

Undang-undang di negara ini menetapkan umur minimum untuk memperoleh lesen memandu ialah sekurang-kurangnya 16 tahun bagi motosikal lesen B2 atau B ; 17 tahun bagi motokar dan 21 tahun bagi semua jenis kenderaan komersial.

Memandu di bawah umur dan tanpa lesen diletakkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah kaedah-kaedah pengangkutan jalan 2003, dalam kategori tiada perlindungan insurans yang kesalahannya tidak boleh dikompaun dan pesalahnya akan terus didakwa di mahkamah.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang ingin memandu di jalan raya tiada pilihan lain selain daripada mendapatkan lesen memandu dari JPJ selepas menjalani beberapa ujian.

Bakal pemandu perlu melalui sebanyak lapan proses mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh JPJ sebelum layak memperolehi lesen P.

Lapan proses tersebut merangkumi pendaftaran, kursus kurikulum pendidikan pemandu (KPP), ujian berkomputer, kursus pra L untuk mendapatkan lesen L. Kemudian diteruskan dengan latihan praktikal sekurang-kurang dikumpul selama 8 jam.

Selepas itu, menjalani pra ujian dari JPJ selama dua jam dan akhir sekali ujian praktikal oleh JPJ sebelum lulus untuk mendapatkan lesen P (provisional).

Pengarah Eksekutif Institut Latihan Memandu Telatin Mewah Sdn. Bhd. Kapten (B) Abdul Karim Gulapdin berkata, kurikulum baru yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan memang banyak manfaat untuk bakal pemandu.

Antaranya, pelatih perlu menghadiri kursus pra L selama enam jam yang kurikulumnya mengandungi latihan mekanikal juga demonstrasi.

"Kursus ini merupakan salah satu komponen penting sebelum pelatih layak menerima lesen L yang seterusnya membolehkan mereka menjalani latihan praktikal minimum selama lapan jam," jelas Abdul Karim ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Pertambahan modul terbaru juga memperuntukkan sekolah memandu untuk mempunyai sebuah kerangka kereta dengan tujuan untuk mendedahkan kepada pelatih tentang struktur kenderaan sebenar.

"Dengan itu mereka bukan sahaja tahu memandu, malah memahami bahagian asas teknik kenderaan sekiranya berhadapan dengan masalah kerosakan kecil," tambahnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url